PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat kajian semula sama ada untuk mengembalikan atau sebaliknya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sistem Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kajian semula itu akan dilaksanakan segera oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPKK) yang diaktifkan semula untuk membincangkan keputusan itu sebelum di bawa ke Kabinet.
“Kita akan mengkaji semula soal peperiksaan itu kerana itu yang masih lagi menjadi permintaan ibu bapa.
“Apa sahaja peperiksaan yang disebut ataupun maknanya yang berada dalam polemik masyarakat itu, saya minta nanti Dr. Mohd. Azam Ahmad (Ketua Pengarah Pendidikan) yang akan memberikan pandangan perincian.
“(ini termasuk) perbincangan bersama ahli-ahli Majlis Penasihat itu nanti akan membincangkan, dan laporan kaji selidik dan apa sahaja keputusan itu, kita akan serahkan kepada ahli Kabinet untuk dibuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM mengaktifkan semula MPPK tahun ini berikutan peranan kritikal majlis itu khususnya dalam memberikan pandangan dan idea dalam konteks profesional namun tetap berpaksikan pendidikan.
Katanya, MPPK juga akan menjadi wadah pemikir strategik KPM terutamanya dalam menavigasi cabaran pendidikan masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, KPM juga akan terus bergerak maju tahun ini dengan mengutamakan keperluan rakyat dan pelajar seterusnya memberi kesan positif pada ekosistem pendidikan negara.
“Jadi secara keseluruhannya kita akan bergerak dengan lebih kemas pada tahun ini dengan mengutamakan keutamaan dan juga hasrat rakyat seterusnya memberikan kesan langsung kepada keseluruhan ekosistem pendidikan,” katanya. – UTUSAN










