KPM kaji kembalikan peperiksaan UPSR, PT3

KPM kaji kembalikan peperiksaan UPSR, PT3

FADHLINA Sidek menyampaikan sumbangan kepada anak-anak kakitangan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya semalam.-UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat kajian semula sama ada untuk mengembalikan atau sebaliknya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sistem Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kajian semula itu dilaksanakan segera Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPKK) yang diaktifkan semula untuk membincangkan perkara itu sebelum dibawa ke Kabinet.

“Kita akan mengkaji semula soal peperiksaan itu kerana itu yang masih lagi menjadi permintaan ibu bapa.

“Apa sahaja peperiksaan yang disebut ataupun maknanya yang berada dalam polemik masyarakat itu, saya minta nanti Dr. Mohd. Azam Ahmad (Ketua Pengarah Pendidikan) yang akan memberikan pandangan perincian.

“(Ini termasuk) perbincangan bersama ahli-ahli Majlis Penasihat itu nanti akan membincangkan, dan laporan kaji selidik dan apa sahaja keputusan itu, kita akan serahkan kepada ahli Kabinet untuk dibuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan di sini semalam.

UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022 sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Fadhlina berkata, KPM mengaktifkan semula MPPK tahun ini berikutan peranan kritikal majlis itu dalam memberikan pandangan dan idea dalam konteks profesional yang berpaksikan pendidikan.

Katanya, MPPK juga menjadi wadah pemikir strategik KPM terutamanya dalam menghadapi cabaran pendidikan masa hadapan.

Sementara tu, Fadhlina berkata, pihaknya akan berusaha untuk mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih awal bermula tahun depan susulan rungutan ibu bapa supaya memudahkan persiapan untuk memasuki sesi persekolahan baharu.

“Kebetulan tahun ini baru memulakan sesi persekolahan pada Januari, jadi memang ada sedikit rungutan yang kita terima.

“Saya ingat mulai tahun hadapan akan terus perbaiki dan saranan itu kita ambil secara serius. Maknanya diberikan lebih awal supaya persiapan boleh dilakukan lebih awal,” katanya.

Sebelum ini, sebahagian ibu bapa menyuarakan kebimbangan apabila bantuan berjumlah RM150 berkenaan hanya diterima selepas sesi persekolahan bermula sedangkan kos awal seperti pakaian seragam, kasut, buku dan peralatan sekolah perlu disediakan lebih awal.

Fadhlina berharap ibu bapa dan penjaga meluangkan masa untuk ke sekolah mengambil BAP sambil berjumpa guru bagi mendapatkan laporan serta saranan berkaitan perkembangan akademik dan sahsiah anak.

“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan penyampaian yang lebih berkesan, malah bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara guru, murid dan ibu bapa,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai jangkaan peningkatan tambang bas sekolah, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Saya akan bawa dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri mengenai perkara ini dan keperihatinan itu untuk kita melihat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat yang menjangkakan kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi seperti insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya akan memastikan semua penambahan 300 kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terlibat berfungsi dengan baik ekoran audit dijalankan mendapati hanya 28.94 peratus sekolah melaporkan alat itu berfungsi dengan baik.

“Apabila kita sebut tentang keselamatan sekolah ialah soal keyakinan ibu bapa dan masyarakat daripada kita. Jadi kalau ada 28 peratus sahaja sekolah yang berfungsi CCTV, ataupun tidak berfungsi, itu adalah tanggungjawab kita untuk selesaikan,” katanya.

Beliau mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) syarikat swasta dan persatuan-persatuan komuniti untuk membantu sekolah membaiki atau menarik taraf kemudahan CCTV sedia ada.

Sementara itu, Fadhlina juga meminta ibu bapa tidak bimbang dengan arahan terbaharu KPM untuk mewajibkan semua pelajar yang berpindah sekolah melampirkan laporan kesihatan termasuk tahap kesihatan mental serta rekod disiplin mulai sesi persekolahan 2026.

Beliau berkata, ia membolehkan mereka boleh memulakan sesi persekolahan dan menerima hak mereka terhadap pendidikan dengan sokongan yang diperlukan sama ada untuk murid yang dilindungi, yang bermasalah atau murid lain.

“Jadi stigma ataupun jaminan keselamatan itu, setakat ini kalau ada kebimbangan kita minta untuk ibu bapa tampil dan juga berikan saranan kepada kita. Ia supaya kita dapat lakukan intervensi serta merta kalau yang ada yang berasa tak selesa dan sebagainya,” katanya.

“Kita harap ia boleh dibincangkan di peringkat sekolah bagaimana kita boleh laksanakan dari segi program sokongan itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN