Kos operasi meningkat tekan prestasi Bursa Malaysia

Kos operasi meningkat tekan prestasi Bursa Malaysia

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan kos operasi yang berterusan menjadi faktor utama menekan prestasi kewangan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) apabila merekodkan penurunan keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2025.

Prestasi pengendali pasaran saham tempatan itu menurun meskipun hasil menunjukkan peningkatan sederhana pada suku terakhir tahun berkenaan.

Penganalisis CIMB Securities, Ei Leen Tan berkata, perbelanjaan operasi tahun kewangan 2025 meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun, manakala nisbah kos kepada pendapatan (CIR) naik enam mata peratusan kepada 54 peratus, sekali gus terus menekan margin keuntungan.

Menurutnya, secara suku ke suku, keuntungan bersih suku keempat 2025 turut terkesan oleh kenaikan perbelanjaan operasi sebanyak 14.8 peratus, didorong peningkatan perbelanjaan kakitangan sebanyak 20 peratus serta perbelanjaan lain yang naik 11.8 peratus.

“Bagi tempoh tersebut, keuntungan bersih Bursa Malaysia susut 19.3 peratus tahun ke tahun kepada RM250.2 juta, dipengaruhi kenaikan perbelanjaan operasi serta penyusutan aktiviti dagangan ekuiti berbanding tahun sebelumnya.

“Pada suku keempat 2025, Bursa Malaysia merekodkan hasil RM190.9 juta, meningkat 6.1 peratus suku ke suku dan 2.7 peratus tahun ke tahun. Bagaimanapun, keuntungan bersih bagi suku itu merosot 4.7 peratus suku ke suku dan 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM60.8 juta.

“Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, hasil berjumlah RM727.7 juta, turun 7.2 peratus tahun ke tahun, didorong terutamanya oleh purata nilai dagangan harian (ADV) pasaran ekuiti yang lebih rendah sebanyak RM2.76 bilion, susut 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“ADV sebelum itu mencecah paras terendah RM2.38 bilion pada suku kedua 2025 berikutan ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS), sebelum pulih secara beransur-ansur kepada sekitar RM2.8 hingga RM3.0 bilion pada suku ketiga dan keempat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bursa mencadangkan dividen akhir 14 sen sesaham bagi suku tersebut, menjadikan jumlah dividen sesaham (DPS) tahun lalu sebanyak 28 sen berbanding 44 sen pada tahun sebelumnya, bersamaan nisbah pembayaran dividen 90.6 peratus.

“Dari segi pecahan hasil, hasil dagangan yang menyumbang 63.4 peratus daripada hasil operasi 2025 menyusut 13.3 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan hasil dagangan sekuriti yang merosot 19.2 peratus, manakala hasil derivatif kekal mendatar.

“Pertumbuhan dalam segmen Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS), Bursa Gold Dinar dan Bursa Carbon Exchange pula tidak mencukupi untuk mengimbangi penurunan tersebut.

“Sebaliknya, hasil bukan dagangan yang merangkumi 36.6 peratus daripada jumlah hasil 2025 meningkat lima peratus tahun ke tahun, didorong sumbangan lebih tinggi daripada perkhidmatan penyenaraian dan penerbit, perkhidmatan depositori serta perniagaan data,” ujarnya.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Bursa Malaysia dengan harga sasaran baharu RM9.70 berbanding RM8.86 sebelum ini, selepas menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 5.3 peratus dan 4.9 peratus.

Unjuran itu disokong andaian ADV ekuiti lebih tinggi iaitu RM3.3 bilion bagi 2026 dan RM3.4 bilion bagi 2027. Penilaian saham kini berasaskan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 2026 sebanyak 26 kali, berbanding purata 10 tahun sekitar 24 kali.

Dengan jangkaan hasil dividen sekitar 3.7 peratus bagi 2026, jumlah pulangan keseluruhan diunjurkan mencecah kira-kira 11.3 peratus.

Prospek itu turut disokong pengukuhan ringgit, pembaharuan struktur melalui program GEAR-Up dan potensi Value-Up, kedudukan pelabur asing yang semakin baik serta persekitaran makroekonomi yang lebih stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN