Konsulat Jeneral di Jeddah masih teruskan pencarian Nadia Kesuma

Konsulat Jeneral di Jeddah masih teruskan pencarian Nadia Kesuma

NADIA KESUMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha pencarian pelakon wanita, Nadiah Kasumawati Binti Abdul Karim, 50, atau Nadia Kesuma yang hilang di Jeddah dua hari lalu masih diteruskan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, pihak Konsulat Jeneral terus berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyegerakan usaha pencarian.

Ini termasuk memberikan bantuan konsular kepada waris, serta sentiasa berhubung rapat dengan pihak-pihak yang berkaitan.

“Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi, mengesahkan bahawa seorang warganegara Malaysia telah dilaporkan hilang di Jeddah sejak dua hari lalu.

“Sejak laporan diterima, Konsulat Jeneral telah segera melaksanakan tindakan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, pihak kementerian turut menggerakkan pegawainya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz bagi menjalankan usaha pencarian berdasarkan lokasi terakhir individu tersebut.

Katanya. Konsulat Jeneral semalam telah memudah cara agensi pelancongan Malaysia yang berkaitan serta rakan kongsi tempatan mereka di Jeddah untuk membuat laporan polis rasmi selaras dengan keperluan peraturan di Arab Saudi.

Pada masa sama, kementerian ini menegaskan komitmennya dalam memastikan kebajikan dan keselamatan setiap warganegara Malaysia di luar negara.

Jelasnya, butiran terperinci dan perkembangan berkaitan kes ini hanya akan dikongsi kepada ahli keluarga terdekat demi menghormati privasi pihak-pihak yang terlibat.

“Prinsip tidak mendedahkan maklumat kepada pihak yang tidak berkaitan ini bertujuan bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar demi mencapai keputusan yang terbaik.

“Ia serta mengelakkan sebarang kekhilafan fakta berkaitan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Warganegara Malaysia yang ingin memberikan maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pihak Kementerian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah melalui nombor telefon +966-12-6727740 / +966-12-6728019 / +966-12-6760877 [email protected].

Media sebelum ini melaporkan, Nadia Kesuma menyertai kumpulan umrah dan ziarah sebuah agensi pelancongan terdiri daripada 21 peserta bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.

Bagaimanapun, pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN