Konstabel tak mengaku tipu wanita selesaikan saman polis

Konstabel tak mengaku tipu wanita selesaikan saman polis

AWANG Azizan Awang Jana didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita dalam menyelesaikan bayaran saman, kira-kira dua tahun lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang anggota polis berpangkat kostabel mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita dalam menyelesaikan bayaran saman, kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Awang Azizan Awang Jana, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang wanita berusia 53 tahun dengan mendakwa boleh membantu menyelesaikan empat saman polis berjumlah RM850 milik adik lelaki mangsa dengan bayaran RM620 dan perbuatan itu mendorong mangsa untuk membuat bayaran ke akaun bank tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan pada 12 Jun 2024 dan atas kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 dan meminta tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Bagaimanapun, tertuduh memohon supaya jumlah ikat jamin minimum diberikan atas alasan dia perlu menyara isteri dan tiga anaknya selain seorang adik yang menghidap kanser.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Selain itu, tertuduh juga diarah untuk menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah dan kes dijadual disebut semula pada 9 Februari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN