JOGJAKARTA: Penyanyi Indonesia, Kunto Aji, memulakan tahun baharu 2026 dengan meneruskan penganjuran konsert Urup untuk tahun ketiga, bagi menyambut terbitnya matahari pertama.
Kunto atau Kunto Aji Wibisono, 38, tampil dengan mesej yang dekat di hati, iaitu tentang menjaga kewarasan dan kesihatan emosi dalam dunia yang semakin sarat dengan tekanan.
Menurutnya, masyarakat hari ini dibebani terlalu banyak informasi sehingga tanpa sedar menguji ketahanan emosi manusia.
“Setiap hari kita menerima terlalu banyak maklumat dan ia menjadi tekanan yang senyap.
“Seorang rakan saya yang merupakan pakar psikologi memberitahu, jumlah informasi yang masuk kini jauh melebihi kemampuan emosi manusia untuk menampungnya,” katanya.
Tambah pelantun lagu Rehat itu, konsert Urup bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya ruang untuk manusia saling menguatkan dan memulihkan diri.
“Saya berharap dengan menghimpunkan semua di sini, kita dapat bertukar tenaga dan menguatkan satu sama lain.
“Semoga kita melangkah ke tahun 2026 dengan rasa saling menyokong dan memahami,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Konsert Urup di Asram Edupark, di sini, semalam.
Berbeza dengan penganjuran tahun lalu, Kunto Aji kali ini tampil dengan konsep lebih megah menerusi iringan orkestra penuh oleh Yogyakarta Symphony Orchestra sepanjang persembahan selama hampir tiga jam.
Seawal pukul 3 pagi waktu tempatan, kira-kira 3,000 penonton dilihat sudah memenuhi tapak acara, sanggup menunggu
detik istimewa menyambut tahun baharu bersama penyanyi kesayangan mereka selepas Subuh.
Pemenang Album Terbaik AMI Awards 2019 itu mendendangkan lagu-lagu daripada album Generation Y, Mantra Mantra dan Pengantar Purifikasi Pikir, yang sarat dengan mesej refleksi dan penyembuhan emosi.
Konsert tersebut turut mencuri tumpuan apabila dimeriahkan dengan kemunculan penyanyi undangan rahsia, Naykilla dan Bilal Indrajaya, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh dalam kalangan penonton.
Terdahulu, Urup 2026 dimulakan dengan segmen Babak Terbenam pada 31 Disember lalu yang menampilkan artis Reruntuh, sebagai simbolik penutup tirai tahun lama sebelum menyambut kehadiran tahun baharu dengan penuh harapan. -UTUSAN










