Koleksi rangka manusia bersejarah Guar Kepah dikembalikan kepada Pulau Pinang

Koleksi rangka manusia bersejarah Guar Kepah dikembalikan kepada Pulau Pinang

SEBAHAGIAN daripada 41 bahagian rangka koleksi rangka Guar Kepah yang diserahkan secara rasmi kepada kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Selepas lebih lapan dekad berada di luar negara, koleksi rangka manusia Guar Kepah termasuk kotak-kotak asal penyimpanannya diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.

Ia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang berlangsung hari ini, dalam usaha penempatan serta pemuliharaan khazanah arkeologi berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Seri Zulkifli Long berkata, inisiatif itu membuktikan kesungguhan berterusan kerajaan dalam melindungi Tapak Arkeologi Guar Kepah yang diiktiraf antara tapak prasejarah terpenting di negara ini.

Menurut beliau, tapak seluas 2.39 ekar yang terletak di Seberang Perai Utara (SPU) itu mula dikaji sejak tahun 1860 dan kekal menjadi fokus penyelidikan arkeologi sehingga ke hari ini.

“Kerajaan negeri dengan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan berjaya membawa pulang 41 bahagian rangka manusia yang dikenali sebagai Koleksi Rangka Guar Kepah yang sebelum ini disimpan di Collection Centre Netherlands.

“Koleksi berkenaan selamat tiba di tanah air pada 30 Ogos 2025 hasil kerjasama erat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Jabatan Warisan Negara, Kedutaan Besar Malaysia di Belanda serta Kerajaan Belanda,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Motac, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Muhamad Muda Bahadin.

Sebelum ini, 41 rangka tersebut dipercayai dibawa ke Belanda pada tahun 1936 dan telah dianalisis antara tahun 1960 dan 1996, masing-masing di Utrecht University dan Muzium Kebangsaan Natuurhistorich.

Zulkifli berkata, koleksi rangka tersebut akan ditempatkan di Galeri Arkeologi Guar Kepah yang kini siap dilengkapi kemudahan konservasi dan penyimpanan mengikut piawaian pemuliharaan warisan.

“Sejak tahun 2017, kerajaan negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) telah melaksanakan kajian dan ekskavasi secara sistematik di tapak Guar Kepah,'” katanya.

Tambah beliau, antara penemuan paling signifikan ialah rangka manusia dikenali sebagai Penang Woman (GK2017) berusia sekitar 5,710 tahun dan ditemukan pada 19 April 2017, sekali gus mengukuhkan kepentingan Guar Kepah dalam prasejarah rantau ini.

Menurutnya, pembangunan galeri itu direalisasikan dengan sokongan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), sekali gus membolehkan pemeliharaan koleksi dilaksanakan secara lebih sistematik dan profesional.

Dalam pada itu, beliau berkata, galeri berkenaan dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku pertama tahun 2026 tertakluk kepada fasa pemindahan rangka dan artifak berkaitan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN