KINABATANGAN: Kawasan Parlimen Kinabatangan memerlukan penambahan kemudahan kesihatan segera bagi memenuhi keperluan penduduk yang kian meningkat.
Calon Bebas Parlimen Kinabatangan, Goldam H Salangah berkata, ketika ini Kinabatangan hanya mempunyai sebuah hospital dan enam klinik kesihatan, jumlah yang disifatkan tidak seimbang dengan populasi penduduk seramai lebih 164,300 orang berdasarkan statistik tahun 2024.
“Data Jabatan Perangkaan Malaysia setakat Disember 2025 menunjukkan Kinabatangan ada sebuah hospital dan enam klinik kesihatan, sedangkan jumlah penduduknya jauh lebih besar berbanding beberapa kawasan lain.
“Sebagai perbandingan, Parlimen Kudat yang mempunyai populasi sekitar 93,100 orang dilengkapi sebuah hospital dan 15 klinik kesihatan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Goldam, berkata kekurangan kemudahan kesihatan menyebabkan penduduk di beberapa kawasan, termasuk Kampung Bilit, terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Pekan Sukau atau Bukit Garam semata-mata untuk mendapatkan rawatan dan bekalan ubat.
Keadaan itu bukan sahaja membebankan penduduk, malah boleh menjejaskan tahap kesihatan masyarakat, khususnya warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik.
Sehubungan itu, isu akses kesihatan akan menjadi antara agenda utama perjuangannya sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, termasuk memperjuangkan pembinaan hospital baharu serta penambahan klinik kesihatan di kawasan berpenduduk padat dan pedalaman. – UTUSAN










