KUCHING: Cadangan penyusunan semula Ahli Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bakal diperincikan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu akan diperhalusi susulan rombakan Jemaah Menteri pada 16 Disember tahun lalu.
Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud akan memulakan perbincangan berkenaan sebelum dibawa ke peringkat jawatankuasa teknikal dan seterusnya ke Majlis Perundingan Tertinggi MTPMA63.
“Nanti saya akan perincikan dalam mesyuarat teknikal yang akan datang. Kita akan perincikan dan disebabkan baru perubahan lagi dari segi komposisi Jemaah Menteri, kita sudah ada kembali menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak (Mustapha).
“Jadi beliau (Mustapha) akan memulakan mesyuarat, kemudian baru dibawa ke jawatankuasa peringkat teknikal sebelum kita bawa kepada majlis perundingan pada peringkat tertinggi MTPMA63,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWire Malaysia 2025 hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian yang mencadangkan agar jawatankuasa MTPMA63 disusun semula mulai tahun ini dengan penglibatan secara langsung
Menteri Kewangan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta agensi utama lain.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, perbincangan mengenai cadangan tersebut telah diadakan dan ketika ini wakil Kementerian Kewangan serta EPU terdiri daripada peringkat pegawai sememangnya terlibat dalam jawatankuasa berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan MA63, Fadillah berkata, perbincangan mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak masih dalam proses dan melibatkan aspek pentafsiran perundangan serta keperluan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
“Dari segi dasar dan prinsip, terdapat persetujuan terhadap penambahan kerusi Parlimen, namun pelaksanaannya bergantung kepada hasil rundingan semasa.
“Kalau melibatkan penambahan kerusi Parlimen melebihi 25 peratus, itu memerlukan sokongan dua pertiga Parlimen dan itulah cabaran utama. Libat urus perlu dibuat,” katanya. – UTUSAN










