PUTRAJAYA: Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menafikan laporan media berhubung dakwaan Malaysia menyerahkan kira-kira 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, dakwaan tersebut adalah tidak tepat selain penyelesaian isu persempadanan darat antara Malaysia dan Indonesia dibuat tanpa berlandaskan prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.
Katanya, rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran di kawasan isu sempadan tertunggak dilaksanakan secara harmoni antara kedua-dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa dan perjanjian sempadan sedia ada.
“Keputusan pengukuran sempadan darat itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) Malaysia–Indonesia pada 18 Feb 2025 selepas melalui lebih 45 tahun proses rundingan teknikal yang komprehensif dan telus.
“Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara telah dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Indonesia Joko Widodo yang turut melibatkan penglibatan aktif wakil kerajaan Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur berkata, pengukuran saintifik telah dilaksanakan berdasarkan perjanjian terdahulu bagi memastikan jajaran sempadan jelas dengan melibatkan kepakaran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta agensi keselamatan.
“Keputusan pemuktamad sempadan itu dilihat sebagai langkah strategik Malaysia dalam memastikan kedaulatan negara diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa, sekaligus meletakkan kepentingan jangka panjang melebihi mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai asas undang-undang,” katanya. – UTUSAN










