KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh dan strategik untuk mengekalkan kestabilan Ringgit, dengan fokus kepada pengawalan defisit belanjawan serta penarikan dan pengekalan pelaburan domestik dan asing, termasuk pelaburan langsung asing (FDI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah-langkah itu dirancang sebagai kerangka ekonomi bersepadu bagi memastikan pengukuhan Ringgit dapat disokong secara berterusan.
Beliau menjelaskan langkah pertama adalah pengawalan defisit belanjawan, yang menekankan kepentingan belanjawan seimbang bagi mengelak tekanan kewangan yang boleh menjejaskan nilai Ringgit.
“Dengan memastikan defisit dikawal, kita bukan sahaja mengekalkan kestabilan fiskal, malah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta penjelasan mengenai faktor pengukuhan Ringgit dan langkah strategik kerajaan.
Langkah kedua, menurut Anwar, adalah menarik dan mengekalkan pelaburan, termasuk FDI. Strategi ini merangkumi penyediaan insentif bersasar untuk sektor utama ekonomi seperti pembuatan, teknologi tinggi, dan tenaga lestari, selain memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan supaya pelabur domestik berkembang selaras dengan pelaburan asing.
Beliau turut menekankan usaha kerajaan dalam memastikan persekitaran ekonomi stabil dan mesra pelabur, termasuk melalui penyediaan kemudahan undang-undang, infrastruktur efisien, dan akses mudah ke pasaran global.
“Pendekatan ini bukan sekadar mengekalkan nilai mata wang, tetapi turut meningkatkan keyakinan pelabur, menyokong pertumbuhan sektor pembuatan, dan memastikan ekonomi negara berkembang secara mapan,” katanya.
Anwar menegaskan pengukuhan Ringgit yang berterusan adalah hasil langsung daripada tindakan kerajaan yang proaktif, selain menyokong pertumbuhan eksport serta memastikan kestabilan harga barangan dan kos hidup rakyat. – UTUSAN










