GEORGE TOWN : Kerajaan memberi jaminan bahawa semua aspek berkaitan pendidikan termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan diambil kira secara menyeluruh selaras dengan kepentingan awam serta sistem pendidikan negara ketika ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, isu pengiktirafan UEC tidak boleh dilihat secara terasing kerana ia melibatkan keseluruhan sistem pendidikan yang tidak berteraskan kepada kurikulum kebangsaan.
Beliau mengakui, memang terdapat pandangan berbeza yang dikemukakan oleh pelbagai pihak mengenai isu tersebut, namun, keputusan kerajaan akan dibuat secara menyeluruh demi kepentingan orang ramai.
“Tak apalah, masing-masing ada pandangan, dia akan bagi pandangan masing-masing. Tetapi yang paling besar, apabila kerajaan membuat keputusan, kerajaan telah mengambil kira semua aspek itu,” katanya selepas menghadiri Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai gabungan 32 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam hari ini yang menggesa kerajaan memansuhkan secara kekal draf Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang telah ditarik balik serta mengulangi bantahan mereka terhadap sebarang rancangan untuk mengiktiraf UEC secara rasmi.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, perkara berkaitan pendidikan telah pun disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keperluan penguasaan bahasa Melayu dan pemahaman Sejarah dalam semua aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta institusi yang tidak mengikuti kurikulum nasional.
“Apa yang disebut oleh Perdana Menteri adalah mencakupi keseluruhan sistem pendidikan, bukan terhad kepada UEC semata-mata. Dalam hal ini, kita bercakap tentang keperluan bahasa Melayu dan Sejarah bagi semua sistem persekolahan yang tidak berasaskan kurikulum kebangsaan semata-mata,” ujar beliau.
Katanya, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dan bersepadu dengan memastikan semua kementerian serta pihak terlibat berada pada landasan yang sama sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kita tidak mahu saya (KPT) buat keputusan lain, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) pun buat keputusan lain. Sebab itu, perbincangan telah diadakan dengan pelbagai pihak termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan pihak berkaitan UEC,” katanya.
Beliau berkata, Fadhlina juga telah mengadakan sesi libat urus dengan badan-badan berkaitan dan hasil perbincangan tersebut akan dibawa ke peringkat seterusnya untuk diputuskan secara bersama sebelum satu kenyataan rasmi dibuat berhubung isu terbabit.-UTUSAN










