SUNGAI PETANI: Keputusan kes dua remaja lelaki yang mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar sebuah kolej vokasional di sini, ditangguhkan kepada 24 Februari depan.
Majistret Mohamad Azlan Basri yang bersidang di Mahkamah Kanak-Kanak, hari ini memerintahkan perkara itu memandangkan laporan akhlak kedua-dua tertuduh yang kini berusia 17 dan 18 tahun belum siap.
Terdahulu, Pegawai Akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda, C. Kumareson memaklumkan mahkamah mengenai status laporan berkenaan.
Pada 8 Disember lalu, kedua-dua remaja itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan secara bersama mendatangkan kecederaan ke atas pelajar lelaki berusia 17 tahun di asrama sebuah kolej vokasional di daerah Kuala Muda kira-kira pukul 12.04 tengah malam, 24 November lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini media melaporkan seorang pelajar lelaki sebuah kolej vokasional ditemukan pengsan dan mengalami kecederaan lebam pada badan dipercayai akibat dibelasah empat rakan kolej.
Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tandas sekolah oleh seorang guru yang kemudian menghantarnya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.
Susulan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengambil tindakan tegas menggantung dan membuang pelajar yang didapati bersalah dalam insiden pergaduhan tersebut. – UTUSAN










