MARANG: Ingin bertemu kawan-kawan baharu membuatkan Nayla Adriana Mohd. Taufik dan kembarnya, Nayla Adriani, 7, teruja mahu ke sekolah bagi sesi persekolahan tahun ini yang bermula semalam.
Pasangan kembar itu adalah anak sulung dan kedua Mohd. Taufiq Mat Rohek, 34, dan Nurul Wathiqah Ab. Wahab, 26, yang mendartar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sawa, di sini.
Nayla Adriana berkata, dia bersemangat mahu ke sekolah kerana mahu berjumpa dengan kawan-kawan baharu.
“Sekarang saya sudah masuk tahun satu, mesti kawan-kawan pun lebih ramai. Saya nak ke sekolah dengan adik. Nak belajar sama-sama, besar nanti nak jadi cikgu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Pasangan kembar itu ditemui di rumah keluarga mereka di Wakaf Tapai, dekat sini ketika bersiap untuk ke SK Bukit Sawa.
Sementara itu, Nurul Wathiqah berkata, walaupun pasangan kembar daripada empat beradik itu tidak seiras, mereka memiliki perwatakan dan keinginan yang sama dalam semua perkara.
Bagaimanapun katanya, Nayla Adriana lebih matang dan mudah mesra berbanding Nayla Adriani yang pendiam.
“Ini pengalaman berharga kepada saya dan suami kerana mereka adalah anak sulung dan kedua. Sepanjang membuat persiapan mereka untuk memulakan persekolahan, pelbagai keletah boleh dilihat. Beg sekolah dan alat tulis hendak sama. Semua kelengkapan persekolahan dibeli lebih awal,”katanya.
Menurutnya, dia dan suami juga teruja untuk menghantar pasangan kembar itu pada hari pertama persekolahan, semalam.
“Sebelum ini saya hanya melihat adik-beradik menghantar anak masing-masing. Kini tiba giliran saya pula hantar anak sekolah rendah,” katanya. – UTUSAN










