PUTRAJAYA: Pentaksiran murid berasaskan peperiksaan berpusat perlu dikembalikan dalam sistem pendidikan negara sejajar dengan pelancaran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, antara harapan utama yang perlu dimasukkan dalam RPM 2026–2035 ialah pemerkasaan semula sistem pentaksiran pendidikan negara agar lebih tersusun dan berkesan.
Beliau berkata, sistem pentaksiran di peringkat sekolah rendah perlu diperkemaskan dengan mewujudkan satu pentaksiran berpusat, seumpama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau menggunakan nama lain yang sesuai.
“Ia supaya kita ada satu sistem pentaksiran di peringkat sekolah rendah yang dapat menilai tahap penguasaan anak-anak kita dalam kemahiran utama seperti menulis, membaca dan mengira (3M), selain aspek komunikasi, adab, sahsiah dan sebagainya,” katanya di sini semalam.
Pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut berharap agar pentaksiran di peringkat menengah rendah diwujudkan semula bagi membantu murid mengenal pasti kecenderungan mereka sebelum melangkah ke menengah atas, sama ada dalam aliran sains, sastera, perdagangan atau ekonomi.
Menurut beliau, pentaksiran di peringkat itu dapat menjadi panduan penting kepada ibu bapa, guru dan pihak pentadbir sekolah dalam menyusun hala tuju pendidikan murid berdasarkan kecenderungan dan kebolehan masing-masing.
“Dahulunya kita ada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Jadi, kita harapkan peperiksaan setara seperti UPSR dan juga PT3 ini dapat dikembalikan dalam sistem pendidikan kita untuk tempoh 10 tahun yang akan datang,” katanya.
Selain isu pentaksiran, Anuar berkata, satu lagi kekangan utama dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan ialah beban tugas guru yang berlebihan dan tidak berkaitan secara langsung dengan pengajaran.
Sehubungan itu, beliau berharap RPM 2026–2035 memberi penekanan kepada peranan hakiki guru sebagai pendidik dengan mengurangkan beban tugas bukan pengajaran serta aktiviti yang tidak berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran.
“Kita mengharapkan guru diberikan peranan yang lebih utama untuk berada di dalam bilik darjah supaya mereka dapat memberikan sepenuh masa, tenaga dan tumpuan kepada tugas hakiki mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Anuar turut menyuarakan harapan agar kurikulum dan silibus yang diguna pakai sebelum ini menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), ditambah baik supaya lebih fleksibel dan versatil.
Menurut beliau, kurikulum yang lebih fleksibel akan memberi ruang kepada guru untuk lebih berautonomi dan berkreativiti memandangkan setiap sekolah mempunyai lokasi serta keperluan murid yang berbeza.
“Pihak sekolah perlu diberikan peranan yang lebih besar dalam menentukan aktiviti pembelajaran anak-anak di sekolah dan tidak terlalu terikat secara rigid dengan kandungan buku teks,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan pembelajaran yang disesuaikan dengan keperluan setempat mampu meningkatkan minat murid, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai pengalaman hidup berbeza berbanding murid di bandar.
“Silibus yang lebih sesuai dengan persekitaran setempat akan meningkatkan keseronokan anak-anak kita untuk belajar,” katanya.
Anuar turut menekankan kepentingan memperkukuh sistem penyampaian pendidikan supaya arahan daripada pihak pusat dapat difahami dengan jelas oleh guru di peringkat sekolah tanpa berlaku kekeliruan atau ‘kecairan arahan’.
Menurut beliau, sistem penyampaian yang lebih berkesan akan memastikan setiap arahan dapat dilaksanakan dengan baik dan konsisten di semua peringkat.
Selain itu, beliau berharap RPM 2026–2035 dapat memperkukuh hubungan serta libat urus antara KPM, pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat, NGO, ahli akademik, pihak industri dan pemimpin komuniti.
“Walaupun proses libat urus mengambil masa, keputusan yang dibuat akan menjadi lebih baik kerana mendapat maklum balas daripada semua pemegang taruh yang melihat pendidikan sebagai perkara penting,” katanya. – UTUSAN










