Kemasukan murid enam tahun perlu menyeluruh bukan terpilih

Kemasukan murid enam tahun perlu menyeluruh bukan terpilih

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua kanak-kanak berusia enam tahun perlu mendapat peluang sama rata untuk memulakan pembelajaran formal di Tahun Satu tanpa perlu melalui ujian diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan sekolah rendah. 

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan ujian bagi membezakan murid layak atau tidak layak memasuki sekolah adalah tidak wajar kerana memasuki Tahun Satu merupakan prinsip dasar pendidikan awam.

“Apabila negara melaksanakan dasar besar seperti membenarkan kemasukan murid pada usia enam tahun, ia tidak boleh bersifat memilih. 

“Jika dasar itu dibuat, semua perlu dibenarkan masuk, jika tidak, lebih baik kita kekalkan sahaja kemasukan pada usia tujuh tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Anuar berkata, penggunaan istilah ujian diagnostik juga adalah tidak tepat dan lebih tepat iaitu ujian kelayakan atau saringan yang membawa maksud pemilihan melalui amalan isihan.

“Bagaimana anak-anak yang baru berusia lima atau enam tahun boleh diberikan ujian kelayakan untuk menentukan sama ada mereka boleh memasuki Tahun Satu atau tidak? Layak masuk atas asas apa?

“Kanak-kanak ini juga belum melalui pendidikan formal sepenuhnya, jadi mengapa mereka diukur berdasarkan kemahiran membaca, menulis dan mengira?,” katanya.

Dalam nada sama, pakar pendidikan, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, ujian diagnostik tidak wajar dijadikan syarat kemasukan ke Tahun Satu dan ia tidak selari dengan hasrat sebenar reformasi pendidikan negara.

Salleh berkata, kerajaan perlu memastikan sistem pendidikan disediakan secara tepat dan menyeluruh dengan memberi penekanan terhadap pengukuhan sistem prasekolah sekiranya mahu membenarkan seawal usia enam tahun memasuki Tahun Satu.

“Kanak-kanak yang akan memasuki Tahun Satu perlu dipastikan telah melalui pendidikan prasekolah secara formal kerana hakikatnya, ketika ini masih terdapat murid yang memasuki Tahun Satu tanpa menguasai kemahiran asas membaca, mengira dan menulis.

“Sekiranya akses kepada prasekolah belum menyeluruh, keutamaan harus diberikan untuk memastikan semua kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah terlebih dahulu,” katanya. 

Sementara itu, semakan mendapati Malaysia dilihat ketinggalan memulakan pendidikan Tahun Satu lebih awal berbanding beberapa negara jiran dan maju seperti Singapura, China, Jepun, Indonesia dan Vietnam dimana pendidikan sekolah rendah bermula ketika kanak-kanak berusia enam tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN