Kemajuan pelancongan negara tuntut komitmen bersama – Anwar

Kemajuan pelancongan negara tuntut komitmen bersama – Anwar

ANWAR Ibrahim pada Majlis Pelancaran Cerita Malaysia Kita, di Sunway Lagoon, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Pembangunan sektor pelancongan negara perlu diperkukuh sebagai pemangkin kemajuan nasional yang menuntut penglibatan menyeluruh rakyat termasuk kerjasama erat pelbagai sektor.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan menjadikan Malaysia destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa bergantung kepada kesediaan semua pihak dan bukan tertumpu kepada peranan kerajaan semata-mata.

Katanya, pendekatan bersepadu melibatkan sektor awam, swasta, industri pelancongan dan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan daya tarikan negara terus diperkasa dan kekal relevan.

“Sebab itu kita harus pastikan semua aspek kegiatan kita, pelancongan yang merupakan salah satu intinya, memerlukan penyertaan semua.

“Sikap, senyuman, kerja, kesediaan kita mengolah cara-cara tarikan baharu. Sektor kerajaan, sektor swasta, badan-badan pelancongan, syarikat, semua ini mengambil peranan melihat secara positif bagaimana boleh kita usahakan, ikhtiar tambahan untuk mengangkat martabat negara kita,” katanya.

Beliau berucap sempena Pelancaran Program Cerita Malaysia Kita Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, malam ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Anwar turut menegaskan, kejayaan pembangunan negara hanya dapat dicapai sekiranya rakyat terus memelihara perpaduan serta menolak sebarang bentuk perpecahan yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan negara.

Katanya, suasana aman dan saling menghormati antara rakyat berbilang kaum serta agama merupakan prasyarat penting bagi memastikan setiap usaha pembangunan, termasuk dalam sektor pelancongan dan ekonomi, dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Dan yang lebih penting, kita berjaya bersama. Kita berjaya sebagai satu pasukan. Kita berjaya kerana kita saling bergantung antara satu sama lain, kita saling menyokong.

“Kita meredakan api dan bara pertelingkahan yang tidak perlu, kebencian, perpecahan agama atau kaum serta sikap taksub, kerana kita sedar bahawa akhirnya kita hanya boleh berjaya jika kita membina keselamatan dan keamanan sepenuhnya di negara ini, serta memastikan setiap orang turut berjaya.

“Ini bukan permainan sifar. Ia adalah satu usaha yang menuntut penyertaan semua serta komitmen untuk memastikan setiap individu, setiap lelaki dan wanita, kanak-kanak, berjaya di negara ini dan diberikan sokongan serta dorongan yang sewajarnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN