Kelebihan satu gol jadi tonik Selangor FC

Kelebihan satu gol jadi tonik Selangor FC

FAISAL Halim terus menjadi harapan Selangor FC untuk merobek gawang Kelantan TRW dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelebihan satu gol menjadi tonik buat Selangor FC menjelang aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) FC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berkata, peluang Gergasi Merah untuk melangkah ke pusingan seterusnya dilihat cerah, biarpun berbekalkan kelebihan satu jaringan.

Katanya, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri memberikan motivasi tambahan kepada pasukan untuk mempamerkan prestasi terbaik.

“Kelebihan satu gol ini memberi kelebihan psikologi yang mampu menaikkan semangat pemain serta menjadi tonik keyakinan dalam melaksanakan strategi yang telah disusun oleh jurulatih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, segala perancangan taktikal perlu dijalankan dengan penuh disiplin agar pasukan tidak mensia-siakan peluang yang ada.

“Kami perlu berusaha keras memastikan setiap strategi berjalan lancar supaya dapat mengekalkan kelebihan ini,” jelasnya.

Mahfizul turut menegaskan semua pemain, sama ada tempatan atau import, akan diberikan peluang untuk beraksi sekiranya mereka menunjukkan prestasi terbaik dalam sesi latihan dan perlawanan.

“Kami mahu pemain yang berada dalam tahap terbaik diberi peluang agar pasukan lebih kompetitif,” katanya.

Pada aksi pertama, skuad kendalian Kim Pan Gon berjaya melakar kemenangan 2-1 di Kota Bharu hasil dua jaringan daripada Faisal Halim.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN