PUTRAJAYA: Seramai 171 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membanteras isu ketidakpatuhan penggajian pekerja asing tanpa permit sah di Selangor, pada Selasa lalu.
Operasi yang bermula kira-kira 12 tengah hari itu dilaksanakan di empat premis kawasan perindustrian di Semenyih sebelum diteruskan ke tapak pembinaan di Sungai Long, Kajang, hasil aduan awam serta risikan Bahagian Penguatkuasaan selama dua minggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 216 individu telah diperiksa terdiri daripada 189 warga asing dan 27 warganegara tempatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 171 warga asing berusia antara 29 hingga 50 tahun disyaki melanggar peruntukan undang-undang imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, operasi berkenaan melibatkan 110 pegawai pelbagai pangkat dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Menurut beliau, warga asing yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia, dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam operasi sama, agensi terlibat turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM15,000 serta satu saman RM500 terhadap syarikat terlibat kerana melanggar Seksyen 30(1)(b) AS 2016 dan Kaedah 17A(2), KKP 1957.
“Sebanyak lima Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya.
Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Datuk Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas di negara ini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap majikan atau mana-mana pihak yang menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” tegasnya. – UTUSAN










