Mencari yang halal itu adalah wajib. Ia bukan hanya melibatkan rezeki tetapi juga dalam bab makanan. Sebab itu menjadi fardu kifayah untuk umat Islam menjadi usahawan. Ia bagi memastikan sumber makanan yang dihasilkan itu bukan sahaja halal tetapi juga baik.
Untuk itu, Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor mengadakan Masjid An-Nur Food Festival dan Pengurusan Perkhidmatan Makanan, di medan letak kereta masjid pagi ini.
Program sulung bercorak keusahawanan bagi membuka tirai takwim 2026 adalah dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam, Selangor.
Program dimulakan dengan kuliah subuh bertajuk ‘Makanan halal dan kesihatan’ yang disampaikan oleh Pakar Teknologi Makanan dan Industri Halal UiTM, Dr. Zainal Samicho.
Selesai kuliah, para jemaah tidak melepaskan peluang melawat dan membeli juadah di 30 gerai yang mengambil bahagian dalam karnival.
Antara gerai yang menjadi tumpuan adalah lempeng pisang dan cendol sagu rumbia durian. Lain-lain juadah yang dijual termasuk nasi lemak, kuih-muih, kambing ungkep, buah-buahan, air balang dan pisang goreng.

Pengarah projek. Muhammad Isyraf Aiman Mustafa, 25, berkata, sambutan program karnival amat menggalakkan dan mendapat penyertaan yang sangat baik daripada komuniti setempat melibatkan pelbagai peringkat umur.
“Kerjasama yang baik antara pihak penganjur, pihak masjid dan komuniti setempat menjadi menyumbang utama kelancaran perjalanan program serta kejayaannya mencapai objektif yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, sesi perkongsian ilmu mengenai pemakanan sihat, table setting, fruit carving, fruit platter contest, demonstrasi masakan dan aktiviti derma darah turut diadakan. Sejumlah 60 orang menderma darah untuk menambah keperluan Pusat Darah Negara.

Dalam majlis sama, Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM, Prof. Dr. Norzuwana Sumarjan turut menyampaikan sumbangan RM3,200 untuk pembangunan masjid baru MAN yang dianggarkan bernilai RM7.9 juta.

Turut hadir, Nazir MAN, Hamzah Mohd. Amin. Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Zamani Ahmad Mansor dan Wan Hayati Wan Bujang yang juga ketua program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Makanan UiTM. – UTUSAN










