Kanak-kanak Gaza mati kesejukan

Kanak-kanak Gaza mati kesejukan

ALAA MANSOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fenomena mu­sim sejuk melampau dengan suhu antara 10 hingga 15 darjah Celsius terus meragut nyawa penduduk Gaza terutama kanak-kanak.

Keadaan diburukkan dengan­ kehidupan yang daif di dalam khemah tanpa perlindungan­ asas disebabkan sekatan berterusan rejim Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan.

Ketua Program Pejabat Gaza Cinta Gaza Malaysia (CGM), Alaa Mansour berkata, keadaan di lapangan semakin memburuk terutama bagi keluarga yang terpaksa tinggal di khemah dan penduduk yang dihalang pulang ke kediaman mereka di kawasan yang diisytiharkan Israel sebagai zon penampan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Palestin telah merekodkan kematian beberapa kanak-kanak akibat cuaca sejuk melampau dan keadaan tempat perlindungan yang tidak selamat.

“Kebanyakan khemah tidak mempunyai penebat, pemanas atau perlindungan asas daripada cuaca musim sejuk. Keadaan ini amat berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak dan warga emas.

“Bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk ke Gaza ketika ini masih pada tahap minimum dan hanya tertumpu kepada keperluan asas untuk kelangsungan hidup, tanpa sebarang peningkatan ketara.

“Bantuan penting seperti karavan dan bahan binaan yang boleh melindungi penduduk daripada kesejukan masih tidak dibenarkan masuk. Sekatan yang sama terus dikenakan dan menghalang akses bantuan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, wakil CGM, Sabrina Suhaimi berkata, tiada sebarang perkembangan positif setakat ini sama ada dari segi usaha mempercepat bantuan kemanusiaan mahupun pelaksanaan gencatan senjata.

Jelasnya, genap 100 hari gencatan senjata pada 17 Januari lalu, Israel dilaporkan melanggar perjanjian tersebut lebih 1,290 kali dan mengorbankan 483 penduduk Palestin di Gaza.

“Sikap Israel yang berterusan menyukarkan kemasukan bantuan memberi tekanan berganda kepada penduduk Gaza, khususnya sepanjang musim sejuk yang memerlukan keperluan asas seperti pakaian panas dan selimut,” katanya.

“Pada masa sama, rakyat Gaza juga berdepan kekurangan makanan asas, lebih-lebih lagi persediaan untuk menyambut Ramadan kurang daripada sebulan,” katanya.

Sabrina menegaskan, tanpa perubahan segera terhadap sekatan sedia ada, krisis kemanusiaan di Gaza dijangka terus meruncing dengan kesan paling teruk ditanggung oleh golongan kanak-kanak dan keluarga yang tiada tempat tinggal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×