Juruteknik pendingin hawa tidak mengaku salah rogol remaja OKU - Utusan Malaysia

Juruteknik pendingin hawa tidak mengaku salah rogol remaja OKU

JAMALUDDIN Mohamed Saha tidak mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan OKU, dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang juruteknik pendingin hawa tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) pada September 2024.

Tertuduh, Jamaluddin Mohamed Saha, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun dua bulan dengan mengetahui ketidakupayaan fizikalnya di sebuah rumah di Taman Pengkalan Intan, di dalam daerah Kinta sekitar waktu tengahari, pada September 2024.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa manakala tertuduh diwakili peguam bela, Hasmah Nordin.

Terdahulu, Raveenaa memberitahu mahkamah bahawa mangsa dalam kejadian itu merupakan seorang remaja OKU dengan masalah pekak dan bisu.

“Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dikenakan terhadap tertuduh.

“Selain itu, mahkamah dimohon membenarkan syarat tambahan dikenakan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, Hasmah memohon jumlah jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan lelaki itu yang juga bapa kepada tiga anak berusia 14, 16 dan enam tahun merupakan penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan tidak tetap sebanyak RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN