JPJ jangka tambah hingga 500 kamera badan tahun ini

JPJ jangka tambah hingga 500 kamera badan tahun ini

AEDY FADLY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan pertambahan antara 300 hingga 500 unit kamera badan bagi kegunaan anggota penguat kuasa di lapangan pada tahun ini, susulan penggunaan awal peralatan tersebut yang dilihat memberi kesan positif terhadap pelaksanaan penguatkuasaan.

Ketua Pengarah JPJ, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak 100 unit kamera badan yang digunakan sepenuhnya oleh anggota penguat kuasa sejak ia mula diperkenalkan pada November lalu.

Beliau berkata, JPJ masih memerlukan tempoh masa antara tiga hingga empat bulan lagi untuk mendapatkan maklum balas berhubung tahap keberkesanan peranti itu yang lebih menyeluruh, memandangkan penggunaannya masih di peringkat awal.

“Buat masa sekarang, kita baru mula pada November. Jadi untuk menilai sepenuhnya tahap keberkesanan, kita perlu tunggu beberapa bulan lagi, namun setakat maklum balas awal yang diterima, penggunaannya dilihat berkesan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan Nombor Pendaftaran Istimewa siri ‘FH’ sempena Hari Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly memaklumkan, JPJ telah mengadakan perbincangan awal dengan beberapa operator lebuh raya, termasuk PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi meneliti pelaksanaan penguatkuasaan digital melalui sistem Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).

“Kita selaras dengan arahan menteri yang meminta JPJ meneliti kaedah baharu penguatkuasaan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional seperti sekatan jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan sistem tersebut memerlukan tempoh masa kerana melibatkan kos, integrasi data antara pelbagai pihak serta beberapa faktor teknikal lain.

Selasa lalu, media melaporkan, penggunaan teknologi ANPR dilihat mampu untuk merevolusikan kaedah penguatkuasaan jalan raya oleh JPJ tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada sekatan jalan raya fizikal yang sering menyebabkan kesesakan lalu lintas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN