KUALA LUMPUR: Jodoh pasangan selebriti, Kamal Adli dan Uqasha Senrose menemui titik noktah apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini, pada Isnin.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, melafazkan talak itu di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali kira-kira pukul 12:56 tengah hari tadi, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Perkara itu dikongsikan peguam mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohamad Salleh kepada pihak media.
“Kes hari ini sepatutnya adalah sebutan prosiding hakam.
“Walau bagaimanapun, atas persetujuan Kamal dan Uqasha sendiri, pada hari ini, Kamal dan Uqasha telah sah bercerai,” katanya kepada Utusan Malaysia Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, pada Isnin.
Sebelum ini, keretakkan perkahwinan pasangan ini menjadi perhatian ramai apabila Uqasha mendedahkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga namun dinafikan Kamal.
Terdahulu pada Oktober 2025, Uqasha memfailkan cerai terhadap Kamal atas alasan tiada persefahaman dan berlaku pergolakan rumah tangga.
Untuk info, Kamal dan Uqasha sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. -UTUSAN










