KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan nasyid tersohor Inteam, Syah Inteam tampil solo menerusi lagu Jendela Hafsah.
Karya ciptaan Syah manakala lirik oleh Ito Lara dan Frizdan itu sarat dengan nilai sejarah selain menjadi sebuah dedikasi cinta dan kerinduan terhadap Rasulullah SAW.
“Lagu ini mengisahkan tentang sebuah jendela di Masjid Nabawi, Madinah, yang terletak tepat di hadapan makam Rasulullah SAW.
“Jendela tersebut dikatakan tidak pernah ditutup sejak zaman Sayidatina Hafsah binti Umar r.a., Ummul Mukminin, sebagai simbol cinta dan kerinduan beliau yang abadi kepada Nabi Muhammad SAW.
“Jendela ini menjadi saksi bisu kerinduan umat Islam sepanjang zaman, malah kisahnya turut diabadikan dalam bentuk lagu.
“Jendela tersebut kekal terbuka sebagai wasiat Sayidatina Hafsah r.a. agar beliau dapat terus menatap makam Rasulullah SAW, dan wasiat ini sentiasa dijaga serta dihormati oleh setiap penguasa dari satu zaman ke satu zaman,” menurut Syah dalam kenyataan.
Lagu ini, yang telah diterbitkan pada Disember tahun lalu menjadi single solo pertama Syah sepanjang pembabitannya dalam lapangan muzik nasyid tanah air.
Menurut Syah, penghasilan dan penyampaian lagu ini merupakan satu cabaran besar serta pengalaman baharu buat dirinya.
“Ini kali pertama saya menyanyikan lagu nasyid secara solo selepas Hazamin Inteam pernah tampil dengan lagu solo sebelum ini.
“Debaran menyanyikan lagu ini sangat mencabar, dan ia merupakan satu percubaan baharu apabila menyanyi secara berseorangan,” ujar Syah.
Beliau turut berharap agar lagu ini dapat diterima dengan baik oleh para peminat, di samping menjadi medium untuk menyampaikan kisah serta menzahirkan kecintaan terhadap isteri Rasulullah SAW.
“Moga peminat dapat menerima lagu ini dengan baik kerana ia berkisahkan isteri Rasulullah SAW dan sarat dengan mesej cinta serta kerinduan kepada baginda,” tambahnya.
Jendela Hafsah oleh Syah Inteam kini boleh diperdengarkan di semua platform digital, manakala video lirik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Inteam Digital.- UTUSAN










