Jenazah pegawai 69 Komando selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah pegawai 69 Komando selamat dikebumikan

JENAZAH Allayarham Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan di Kampung Bakar Bata di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jenazah pegawai 69 Komando, Allahyarham Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin, 45, yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna, Sabah semalam, selamat dikebumikan sebentar tadi.

Jenazah Allahyarham Khairul Azhar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan di Kampung Bakar Bata di sini pada pukul 6.10 petang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), Ipoh.

Jenazah Allahyarham yang tiba pada pukul 3.20 petang kemudian dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Ulu Kinta untuk solat jenazah.

Hadir memberi penghormatan terakhir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh; Timbalan Pengarah KDNKA (Kepolisan Am/Krisis Bencana), Datuk M. V. Srikumar; Komander Unit Tindakhas (UTK) Senior Asisten Komisioner Hisham Mahmood dan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof.

Pengebumian jenazah Allahyarham dilangsungkan dalam istiadat pengebumian kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Fisol menyerahkan bendera Sang Saka Biru kepada anak sulung Allahyarham, Zharif Iman, 19.

Kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara, penduduk kampung dan rakan-rakan sepasukan turut hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham.

Dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi semalam, Khairul Azhar dilaporkan tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam yang dijalankan di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pulau Mataking.

Difahamkan, Allahyarham bersama sepasukan anggota Team Charlie VAT 69 tiba di jeti sekitar pukul 8 pagi sebelum bergerak ke lokasi latihan selepas membuat persiapan peralatan.

Bantuan awal termasuk pertolongan cemas dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan oleh kakitangan resort dan anggota VAT69 yang berada di lokasi.

Mangsa kemudiannya dibawa keluar sebelum dihantar menggunakan bot ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN