KUALA LUMPUR: Gitaris kumpulan Barbarik, Jo Branko menyifatkan penggunaan lirik lucah atau double meaning sebagai tindakan memalukan yang tidak boleh dinormalisasikan.
Katanya, lirik lagu medium penting yang membawa pengaruh besar kepada masyarakat justeru sebarang kandungan negatif di dalamnya perlu ditegah.
“Ada pihak yang tanpa segan silu menulis perkara-perkara lucah dalam lirik untuk memancing pendengar. Bagi saya tindakan itu tidak wajar.
“Lirik bukan sekadar lirik, ia sebuah seni kata yang sarat dengan nilai seni.
“Bila seni kata itu hilang, maka hilanglah jiwa dalam lagu itu,” katanya.
Jo mengulas tentang kontroversi yang timbul gara-gara lirik berunsur dua maksud (double meaning) dalam lagu Masuk Lagi yang dinyanyikan Baby Shima.
Kata Jo, sebagai orang Melayu yang memahami nilai moral dan kesopanan, penulis lagu seharusnya menitik beratkan elemen-elemen positif sebagai sajian pendengar.
“Orang Melayu ada jati diri. Ibu bapa perlu tahu lirik lagu yang anak-anak dengar. Seperti saya katakan, lirik ini besar pengaruhnya.
“Namun, zaman sekarang ini ramai penulis yang berlumba-lumba mencipta lirik berunsur sensasi dan kontroversi sebagai umpan pendengar,” kongsinya.










