PETALING JAYA: Kerajaan Pulau Pinang digesa mengambil pengajaran dalam isu pengurusan ladang ternakan babi di Selangor.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan di bawah pemerintahan DAP itu perlu mengambil pengajaran untuk menyelesaikan masalah ladang babi di Kampung Selamat.
Menurut beliau, masalah pencemaran bau dan sungai akibat ladang babi di Tasek Gelugor itu sudah berlarutan berdekad-dekad.
Beliau mendakwa, kerajaan negeri tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah pencemaran tersebut.
“Benarlah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila Baginda ‘mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi’.
“Exco-exco Pulau Pinang juga jangan hanya datang melawat, tetapi cubalah tinggal di kawasan berdekatan Kampung Selamat. Jangan sekadar membuat polisi dari kemewahan pejabat di Georgetown saja,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita serta tidak bersetuju dengan perancangan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat yang dijadual bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau sudah berulang kali membangkitkan isu ladang babi di kawasannya itu di Dewan Rakyat, selain bertemu penduduk terkesan dan berdialog dengan penternak babi untuk menghentikan pencemaran.
“Tapi apa gunanya semua usaha kita jika kerajaan DAP Pulau Pinang terlalu lembik dan tiada kesungguhan mahu menyelesaikan masalah ini?
“Adakah kerajaan DAP Pulau Pinang meletakkan kepentingan industri babi lebih penting daripada kualiti hidup rakyat di kawasan sekeliling yang majoritinya Melayu Muslim yang amat tidak selesa dengan penternakan babi,” katanya.
Beliau menuntut supaya kerajaan negeri menggariskan jadual muktamad untuk ladang babi Kampung Selamat dipindahkan. – UTUSAN










