ARAU: Penyediaan 5,000 penginapan tambahan untuk mahasiswa dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 adalah langkah tepat ketika hampir 40 peratus pelajar universiti awam menginap di luar kampus berikutan kapasiti kolej kediaman tidak mencukupi.
Pengerusi Majlis Perumahan Universiti Awam (MAPUM), Profesor Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, inisiatif tersebut yang turut memastikan yuran penginapan tidak membebankan mampu meringankan beban pelajar.
Katanya, pada peringkat awal pelaksanaan, lima universiti awam yang dikenal pasti bagi pembangunan kolej kediaman baharu tersebut melibatkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Ujar beliau, pihaknya turut dimaklumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama-sama unit kerjasama awam swasta, Jabatan Perdana Menteri kini berada pada peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan projek kolej kediaman baharu secara kerjasama awam swasta bagi lima universiti awam itu.
“Pelaksanaan projek secara kerjasama awam swasta itu dijangka dapat mempercepatkan penyediaan kemudahan penginapan pelajar secara mampan, berkualiti dan berdaya tahan di samping mengurangkan kebergantungan kepada penginapan di luar kampus.
“Pembangunan kolej kediaman itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan selaras dengan ketetapan dasar kemudahan kolej kediaman di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“MAPUM juga bersedia memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam menyokong perancangan, pelaksanaan serta pemantauan projek berkenaan agar dapat memenuhi keperluan pelajar dan selari dengan hala tuju pendidikan tinggi negara,” katanya di sini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pelancaran RPM 2026-2035 kelmarin, mengumumkan 5,000 penginapan tambahan untuk mahasiswa melibatkan kerjasama universiti dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). – UTUSAN











