KUALA LUMPUR: Integriti mesti menjadi teras utama dalam pembangunan industri pertahanan negara, bukannya didorong oleh kepentingan komisen atau keuntungan peribadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan berkaitan perolehan aset, teknologi serta kerjasama strategik perlu dibuat secara telus, beretika dan bebas daripada unsur rasuah ekoran sektor pertahanan melibatkan keselamatan negara dan kedaulatan tanah air.
“Industri pertahanan bukan ruang untuk mencari keuntungan peribadi. Ia adalah amanah besar yang berkait langsung dengan keselamatan negara, anggota keselamatan serta rakyat keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pameran dan persidangan pertahanan di sini hari ini.
Tambah beliau, kerajaan komited memperkukuh sistem tadbir urus dan pemantauan dalam semua urusan perolehan pertahanan bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan maksimum kepada keupayaan angkatan tentera serta pembangunan industri tempatan.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menggesa syarikat tempatan agar meningkatkan keupayaan teknologi, inovasi dan kepakaran supaya industri pertahanan negara mampu berdikari dan bersaing di peringkat antarabangsa.
“DIPN menumpukan kepada pemantapan ekosistem dan rantaian bekalan industri pertahanan memandangkan negara membelanjakan puluhan bilion ringgit dalam sektor berkenaan.
“Namun keutamaan itu tidak akan tercapai sekiranya amalan mengejar komisen dan kepentingan kekayaan peribadi terus mengatasi kepentingan industri tempatan,” katanya dalam Majlis Peluncuran DIPN di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini semalam
Perdana Menteri berkata, rangka kerja strategik seperti diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertujuan memperkukuhkan ekosistem pertahanan dengan pendekatan yang menuntut agar usaha tidak hanya tertumpu kepada pembelian semata-mata.
“Kita mesti membina kemandirian teknologi tempatan, memperkasa rantaian bekalan dan mengkomersialkan penyelidikan serta pembangunan (R&D). Tumpuan kita bermula dengan pengukuhan tadbir urus dan tatakelola yang baik.
“Kita tahu perolehan ini bukan perkara yang khusus di negara ini, saya rasa bagi yang mengikuti perkembangan industri pertahanan dan perolehannya, inilah salah satu ruang di mana amalan songlap dan sakau ini paling ganas,” katanya.
Anwar berkata, DIPN menjadi asas penting kepada keyakinan ekonomi negara termasuk kepercayaan pelabur asing dan kejayaan dasar itu tidak akan tercapai selagi amalan lama yang merosakkan sistem perolehan pertahanan terus berlaku.
“Apabila negara berada dalam keadaan aman, orang menjadi senang. Bacalah sejarah, tidak ada negara yang pernah selamat tanpa kesiapsiagaan, termasuk angkatan bersenjatanya.
“Sebab itu, amalan bobrok tidak boleh lagi diteruskan. Mana mungkin kita dapat menetapkan dasar pertahanan dan perolehan persenjataan terbaik sekiranya masih terikat dengan kepentingan peribadi, komisen dan kekayaan,” katanya.-UTUSAN











