Penerapan nilai integriti dan amalan tadbir urus yang baik dalam kalangan mahasiswa perlu terus diperkukuh bagi melahirkan barisan pemimpin masa depan negara yang beretika, berwibawa dan berkeupayaan memacu pembangunan nasional.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, universiti komited dalam melahirkan mahasiswa idaman yang holistik, seimbang dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.
“Penerapan nilai integriti dan amalan tadbir urus yang baik merupakan antara elemen penting dalam pembentukan mahasiswa holistik. Kita bukan sekadar mahu melahirkan graduan berilmu, tetapi pemimpin muda yang berakhlak, beretika dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara,” katanya.
Menurutnya, dalam landskap kepimpinan yang semakin mencabar, mahasiswa bukan sahaja dituntut cemerlang dari segi akademik, malah perlu memiliki sahsiah, nilai moral dan kebolehan mentadbir yang tinggi.
Beliau berkata demikian dalam Bengkel Pemantapan Organisasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2025/2026 yang diadakan di Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.
Ujarnya, kepimpinan pelajar khususnya dalam organisasi MPP merupakan medan latihan awal yang penting untuk membentuk keupayaan mentadbir, mengurus amanah serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Pendedahan melalui program pembangunan kepimpinan seperti bengkel dan latihan berstruktur diyakini mampu melahirkan mahasiswa yang lebih matang dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar”, katanya
Sementara itu, Yang Dipertua MPP UMT sesi 2025/2026, Wan Darwisy Khazin Wan Ahmad Rosddy menyifatkan program pemerkasaan mahasiswa berupaya membentuk ciri kepimpinan dan keperibadian unggul. –UTUSAN










