Inap desa terapung tarikan Pasir Salak

Inap desa terapung tarikan Pasir Salak

HAIRUDDIN Hamzah menunjukkan inap desa terapung di Sungai Perak di Kampung Bawah Bungor di Pasir Salak, Perak.  – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Sebuah inap desa terapung di Sungai Perak, Kampung Bawah Bungor semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara yang ingin merasai pengalaman percutian unik berkonsepkan suasana kampung.

Inap desa terapung dibina dengan reka bentuk sebuah rumah, terletak berhampiran Kompleks Sejarah Pasir Salak, sekali gus menawarkan gabungan pengalaman bersejarah, alam semula jadi dan kehidupan desa kepada pengunjung.

Inisiatif berkenaan diuruskan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bawah Bungor dan dibangunkan menerusi Program Sejati Madani bagi menjana ekonomi penduduk setempat melalui sektor pelancongan.

Setiausaha projek, Hairuddin Hamzah berkata, inap desa tersebut terletak di kawasan kampung yang masih mengekalkan keindahan semula jadi dan suasana tenang, sekali gus menjadi tarikan utama kepada pelancong.

Katanya, pengalaman menginap di atas sungai memberikan kelainan kepada pengunjung, khususnya mereka yang ingin menikmati ketenangan serta keunikan kehidupan kampung tradisional.

“Inap desa ini terletak di Kampung Pasir Salak yang terkenal sebagai lokasi bermulanya penentangan orang Melayu terhadap penjajah British.

“Keistimewaan kawasan ini ialah suasana kampung yang masih terpelihara, selain aktiviti penduduk setempat dan tinggalan sejarah lama yang masih dapat dilihat sehingga kini,” katanya.

Pengunjung yang menginap di situ berpeluang menikmati aktiviti memancing udang galah dan ikan sungai, di samping merasai suasana damai jauh daripada kesibukan bandar.

Kadar sewaan ditawarkan pada harga RM200 semalam dengan dua unit inap desa disediakan lengkap dengan kemudahan memasak, tempat solat, televisyen pintar dan pendingin hawa.

“Sambutan amat menggalakkan terutama daripada anak perantau yang pulang ke kampung dan pelancong yang berminat dengan pakej penginapan berkonsepkan kehidupan desa.

“Disebabkan hanya terdapat satu inap desa terapung di Sungai Perak bagi daerah Hilir Perak, pengunjung dinasihati membuat tempahan awal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×