Imigresen Kelantan hantar 42 PATI pulang ke negara asal - Utusan Malaysia

Imigresen Kelantan hantar 42 PATI pulang ke negara asal

SEBAHAGIAN PATI menaiki trak di Depo Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan untuk dihantar pulang ke negara asal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menghantar pulang seramai 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan sebelum ini ke negara asal masing-masing selepas selesai menjalani proses perundangan dan dokumentasi yang ditetapkan.

Timbalan Pengarahnya Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, kesemua tahanan yang terdiri daripada warganegara Kemboja, Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan itu dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula semalam.

“Tahanan ini sudah melengkapkan urusan perjalanan melalui kedutaan negara masing-masing sebelum dihantar pulang.

“Selain itu, mereka turut dikenakan tindakan senarai hitam berdasarkan kesalahan imigresen yang dilakukan sebelum dibawa pulang ke negara asal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Akhtarulhaq memberitahu, tindakan penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JIM Kelantan bagi memperkukuh pengurusan tahanan serta memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, JIM Kelantan akan terus komited menangani isu berkaitan imigresen secara tegas, sistematik dan berkesan bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN