ICDM lantik Jamaludin Ibrahim sebagai Ahli Lembaga Pengarah - Utusan Malaysia

ICDM lantik Jamaludin Ibrahim sebagai Ahli Lembaga Pengarah

TAN Sri Jamaludin Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) melantik Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya, langkah yang dijangka memperkukuh usaha institut itu dalam mempertingkatkan tahap profesionalisme dan kepimpinan lembaga pengarah di Malaysia.

ICDM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu turut meningkatkan keupayaan lembaga dalam menyokong agenda strategik institusi berkenaan, khususnya dalam memperkasa tadbir urus korporat serta kepimpinan berimpak tinggi di peringkat nasional dan serantau.

“Jamaludin membawa lebih empat dekad pengalaman kepimpinan dalam peranan eksekutif dan lembaga pengarah merentasi pelbagai industri termasuk teknologi maklumat, telekomunikasi, pendidikan, pengangkutan, perkhidmatan makanan dan penerbangan,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga ICDM, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan Jamaludin yang membawa pengalaman luas dalam kepimpinan eksekutif dan lembaga merentasi pelbagai industri, baik di peringkat serantau mahupun global.

“Perspektif strategik beliau serta penekanan terhadap pembangunan modal insan akan mengukuhkan keupayaan kolektif lembaga. Kami menantikan sumbangan dan pandangan beliau dalam menyokong ahli-ahli ICDM membina organisasi berprestasi tinggi dan berdaya saing di peringkat global. 

“Pelantikan itu menambah nilai signifikan kepada usaha ICDM dalam membangunkan lembaga pengarah semasa dan masa hadapan melalui amalan kepimpinan serta tadbir urus yang berpandangan jauh,” katanya. 

Jamaludin membawa lebih empat dekad pengalaman kepimpinan dalam peranan eksekutif dan lembaga pengarah merentasi pelbagai industri termasuk teknologi maklumat, telekomunikasi, pendidikan, pengangkutan, perkhidmatan makanan dan penerbangan. 

Sepanjang kerjayanya, beliau terlibat dalam pelaksanaan inisiatif transformasi utama, pembinaan pasukan kepimpinan berdaya saing serta pematuhan piawaian tadbir urus yang tinggi.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis Communications Berhad pada fasa permulaan industri mudah alih, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Berhad. 

Di Axiata, beliau berjaya mengembangkan perniagaan sehingga menjadi peneraju serantau bertaraf global dengan operasi di 11 negara.

Selain itu, Jamaludin juga pernah memegang jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad dan AirAsia Aviation Group Ltd, serta Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sunway Berhad. 

Pengalaman luas merentasi sempadan dan lembaga pengarah itu dilihat selari dengan aspirasi ICDM untuk memperkukuh pertumbuhan dan relevannya di peringkat serantau.

Dalam bidang dasar negara, beliau pernah menyumbang sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Majlis Ekonomi Digital Malaysia. 

Ketika ini, Jamaludin merupakan Pengerusi QSR Brands Holdings Bhd, selain ahli lembaga pengarah SEEK Limited dan NEXTDC di Australia.

Sumbangan beliau di peringkat serantau dan global turut diiktiraf menerusi pelbagai anugerah berprestij, termasuk Anugerah Pengerusi GSMA pada 2015 atas sumbangan peribadi cemerlang terhadap pertumbuhan dan pembangunan industri komunikasi mudah alih dunia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN