NIBONG TEBAL: Pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) oleh kerajaan melegakan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui Utusan Malaysia berharap, bantuan tersebut diagihkan lebih awal pada tahun hadapan untuk memudahkan mereka membuat perancangan dan pembelian awal.
Seorang ibu, Jamilah Othman, 43, berkata, dia bersyukur kerana menerima BAP walaupun terpaksa mengeluarkan belanja awal untuk membeli pakaian sekolah buat anaknya, Nur Izzah Insyirah Mohamad Fadli, 13.
“Alhamdulillah, walaupun bantuan ini agak lambat berbanding sebelum ini, saya lega kerana ia membantu menampung keperluan sekolah anak saya.
“Selain pakaian, wang ini juga boleh digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah yang lain termasuk buku-buku dan sebagainya. Jadi, ia tetap melegakan kami sebagai ibu bapa,” katanya yang juga seorang pekerja swasta.
Jamilah ditemui semasa menghadiri majlis penyerahan BAP yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, Sungai Bakap di sini, semalam.
Ibu kepada tiga anak, Marlina Husin, 46, turut sependapat dengan Jamilah dan berharap wang BAP tahun depan dapat diawalkan untuk digunakan bagi membeli kelengkapan sekolah yang lain.
“Walaupun hanya seorang anak saya yang bersekolah ketika ini, bantuan ini memang akan digunakan sepenuhnya untuk dia,” katanya.
Bagi Mohamad Anuar Salleh, 40, BAP membantu meringankan beban kewangannya berikutan tiga daripada empat anaknya bersekolah tahun ini.
“Syukur sangat. Kalau boleh bantuan ini diawalkan tahun depan, ia lebih memudahkan ibu bapa merancang menyediakan peralatan sekolah anak-anak,” katanya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.” katanya. – UTUSAN











