KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Balqis meluahkan rasa syukur apabila kehidupannya kini dirasakan semakin bahagia, bukan sahaja dari segi kerjaya malah melibatkan aspek kehidupan peribadi.
Lebih manis, Balqis, 19, atau mesra disapa Aqish kini bergelar tunangan kepada seorang jejaka tinggi lampai yang dikenali sebagai Didi.
Menurut Aqish, fasa baharu dalam hidupnya itu seakan melengkapkan kekosongan yang sebelum ini dirasakan belum sempurna.
“Sekarang saya sangat bahagia sama ada melibatkan keluarga mahupun kerjaya. Boleh dikatakan ada satu ‘puzzle’ yang sudah diselesaikan dan ada satu lagi ‘puzzle’ yang mencantikkan keseluruhannya.
“Ya, ia saling melengkapkan. Saya sangat berbesar hati kerana dikelilingi keluarga sendiri dan keluarga tunang yang sangat baik,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Ramadan Raya 2026: Jwanjih Drama! di TGV Cinema, Suria KLCC, di sini, Rabu lalu.
Bagaimanapun, penerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia 2014 itu memilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai hal peribadi dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya seni.
“Mengenai keluarga dan pertunangan, saya tidak mahu bercerita terlalu lanjut kerana mereka sudah melalui pelbagai perkara sebelum ini.
“Jadi, saya lebih selesa berkongsi tentang kerjaya sahaja. Soal peribadi, biarlah saya jawab sekadar yang perlu,” jelasnya.
Sebelum ini, Aqish pernah berkongsi beberapa keping foto di media sosial ketika hari pertunangannya yang dipercayai berlangsung pada 12 Ogos lalu.
Dalam perkembangan lain, Aqish bakal tampil menerusi drama Anugerah Tanpa Cahaya yang akan bersiaran sebanyak 10 episod bermula 16 Mac ini di platform penstriman Tonton.
Selain Aqish, drama berkenaan turut dibintangi barisan pelakon seperti Amyza Aznan, Azhan Rani, Zairi Aziz dan Hafeez Mikail. – UTUSAN










