ALOR SETAR: Hampir dua bulan selepas banjir besar melanda Hat Yai, industri pelancongan bandar itu masih belum pulih sepenuhnya.
Tidak terkecuali dalam sektor perhotelan di wilayah itu yang kini menyaksikan hanya separuh hotel kembali beroperasi sementara selebihnya masih ditutup dan ada yang tidak lagi akan dibuka.
Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla, Sitthipong Sitthiphataraprabha berkata, sebahagian pengusaha hotel teragak-agak untuk membuka semula premis mereka, ekoran kos pemulihan yang tinggi serta kebimbangan banjir berulang.
“Sebuah hotel lama yang beroperasi selama beberapa dekad mengambil keputusan menutup operasi secara kekal kerana kos pengubahsuaian yang tinggi dan kebimbangan banjir boleh berulang tahun ini.
“Sebahagian besar Hat Yai masih belum pulih dengan kerosakan yang teruk di merata-rata, selain sisa bawaan banjir masih ada. Sehingga ini belum ada tanda-tanda Hat Yai akan pulih terutama menjelang Tahun Baharu Cina nanti.
“Ini sangat mengecewakan kerana selalunya pada musim perayaan, rakyat Malaysia akan membanjiri Hat Yai untuk bercuti. Rakyat Malaysia menyumbang kepada 91 peratus kedatangan ke sini daripada 3.5 juta pelancong asing setahun.
“Namun dengan keadaan semasa seperti ini saya rasa mereka masih belum mahu datang macam dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan pemulihan industri pelancongan di Hat Yai hanya akan berlaku sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.
“Sehingga sekarang, kadar tempahan hotel terus merosot dengan lebih separuh bilik hotel kosong semasa cuti tahun baharu manakala tempahan selepas cuti perayaan itu menjunam kepada sekitar 20 peratus.
“Perniagaan lain di Hat Yai juga masih bergelut kerana banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berdepan kekangan modal bagi kerja pembersihan, pembaikan serta penggantian stok, khususnya di kawasan tumpuan seperti Kim Yong Market,” jelasnya.
Sitthipong berkata, pihaknya turut menggesa kerajaan Thailand mempercepat pelaksanaan bantuan pemulihan termasuk skim pembiayaan kepada perniagaan serta langkah mitigasi banjir berskala bandar.
“Kami bimbang kelewatan bertindak boleh menyebabkan pelancong terus menjauhi Hat Yai menjelang musim puncak hujung tahun ini,” ujarnya.
Bank Thailand sebelum ini menganggarkan banjir besar tersebut menyebabkan kerugian mencecah 15.7 bilion baht (RM2.03 bilion) merangkumi semua sektor, dengan kerugian hasil pelancongan dianggarkan sekitar 7 bilion baht (RM907 juta) bagi tempoh November hingga Disember 2025. – UTUSAN










