KUALA LUMPUR: Harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dijangka tidak akan mengalami kenaikan ketara pada tahun ini, meskipun pelaksanaan semakan struktur cukai eksais berdasarkan nilai pasaran terbuka (OMV) dijadualkan bermula Julai 2026.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd. Shamsor Mohd. Zain berkata, berdasarkan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan (MOF), pihaknya difahamkan bahawa impak daripada semakan tersebut adalah sangat minimum dan berkemungkinan sifar.
Beliau berkata, tempoh lanjutan selama enam bulan diperlukan bagi memuktamadkan serta memperhalusi cadangan semakan berkenaan untuk memastikan ia bersifat adil dan saksama kepada semua pihak.
“Berdasarkan mesyuarat yang dihadiri pihak kami, petunjuk awal menunjukkan harga kenderaan tidak akan naik,” katanya dalam sidang media pengumuman prestasi pasaran automatif 2025, di sini hari ini.
Terdahulu, MOF mengesahkan penguatkuasaan Peraturan P.U.(A) 402/2019 yang sepatutnya bermula tahun ini telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2026 bagi mengambil kira permohonan pemain industri dan memberi ruang kepada sesi libat urus diteruskan.
Sebelum ini, timbul kebimbangan dalam kalangan penganalisis pasaran yang meramalkan harga jualan kenderaan CKD akan melonjak sebaik sahaja struktur cukai eksais berdasarkan OMV itu dilaksanakan.
Dalam pada itu, Mohd. Shamsor memberi bayangan bahawa harga jualan kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) berkemungkinan akan meningkat tahun hadapan.
Katanya, hal ini susulan tamatnya tempoh insentif pengecualian cukai bagi kenderaan tersebut pada 31 Disember 2025.
Tambahnya, selepas tempoh itu, EV CBU bakal berdepan dikenakan duti import pada kadar 30 peratus, duti eksais (10 peratus) dan cukai jualan (10 peratus).
“Bagaimanapun, kadar duti import yang dikenakan bergantung kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang ditandatangani. Bagi pengeluar yang mempunyai kelulusan FTA, mereka sebenarnya boleh mengelak cukai import tersebut.
“Sebagai contoh, menerusi perjanjian FTA ASEAN-China, duti EV yang dikenakan hanyalah sebanyak lima peratus mengikut jadual pengurangan tarif.
“Namun bagi protokol ASEAN-Korea, produk automotif diletakkan di bawah senarai sensitif, maka kadarnya kekal 30 peratus. Jadi, semuanya bergantung kepada FTA yang terlibat,” katanya. –UTUSAN










