‘Harap Pas terbubar sendiri nanti’ - Utusan Malaysia

‘Harap Pas terbubar sendiri nanti’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO menganggap kenyataan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa ‘jika suatu hari nanti UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam Perlembagaannya, Pas akan dibubarkan’ sebagai wasiat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas wasiat tersebut, beliau meminda Perlembagaan UMNO dengan meletakkan asas Islam di dalamnya, sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepemimpinan parti.

“Apabila Almarhum Tan Sri Nik Aziz menyebutkan UMNO jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam Perlembagaannya maka Pas akan dibubarkan.

“Saya anggap itu wasiat, (sebab itu) apabila saya mengambil alih kepimpinan UMNO, itu perkara pertama yang saya lakukan. Meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan UMNO.

“Tapi, Pas belum terbubar lagilah. Saya harap (Pas) akan terbubar dengan sendiri,” katanya dalam nada berseloroh ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Usul khas Pindaan Perlembagaan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 telah diluluskan sebulat suara oleh perwakilan, antara lainnya meletakkan Islam (agama) di hadapan kemudiannya disusuli dengan bangsa dan negara.

Ketika itu Ahmad Zahid baharu saja mengambil alih jawatan Presiden UMNO daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak pernah menolak Islam daripada jantungnya, jauh sekali mahu mengeksploitasi agama demi meraih sokongan.

Katanya, bagi UMNO, Islam adalah panduan kenegaraan, bukan modal politik dan dibina melalui dasar serta institusi bukannya slogan retorik.

“Islam telah dimartabatkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan manakala peranan Raja-Raja Melayu sebagai payung agama diperkukuhkan dalam Perkara 38. Inilah jasa besar UMNO yang jangan sesekali kita lupakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN