PUTRAJAYA: Had jualan tahunan penyewa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang dikecualikan daripada membayar Cukai Perkhidmatan dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, kadar cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan diturunkan dari 8 peratus kepada 6 peratus mulai 1 Januari lalu.
Pada masa sama, PMKS yang baru menubuhkan perniagaan diberi pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan bagi tempoh 1 tahun mulai dari tarikh pendaftaran PMKS tersebut.
“Cukai Jualan ke atas bahan mentah atau input yang kritikal dan digunakan oleh pengilang berdaftar diberi pengecualian mulai 1 Januari 2026.
“Layanan ini bertujuan mengawal harga barangan keperluan asas kepada majoriti rakyat,” katanya hari ini.
Menurut MOF, pengecualian ini meliputi pengeluaran barangan penternakan dan pertanian seperti makanan ternakan; baja dan racun perosak.
Dalam pada itu, Cukai Perkhidmatan bagi perjanjian pembinaan yang ditandatangani sebelum 1 Julai 2025 dan tidak mempunyai reviewable clause yang telah dikecualikan mulai 1 Julai 2025 sehingga 30 Jun 2026 diberi pelanjutan setahun sehingga 30 Jun 2027.
Dengan ini, kata MOF, perjanjian perkhidmatan pembinaan yang telah ditandatangani sebelum peluasan SST dapat menikmati pengecualian ke atas Cukai Perkhidmatan selama dua tahun.
“Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan ibadat seperti surau, masjid, kuil, gereja dan tokong yang bersifat keagamaan dan kerohanian diberi pengecualian mulai 1 Julai 2025.
“Maka pembinaan bangunan ibadat tidak tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan ke atas pembinaan,” katanya. – UTUSAN










