Had jawatan PM: Tiada siapa yang tidak boleh diganti 

Had jawatan PM: Tiada siapa yang tidak boleh diganti 

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: ‘Tiada individu yang tidak boleh diganti’ merupakan antara asas di sebalik langkah kerajaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu bukan soal ketidakpercayaan terhadap pemimpin, sebaliknya berkait rapat dengan kuasa besar yang terletak pada jawatan Perdana Menteri.

“Ini bukan kerana kita tidak boleh mendapatkan pemimpin yang baik atau terbaik. Tetapi tiada siapa yang tidak boleh diganti. Di Malaysia, dengan 34 juta rakyat, ada begitu ramai individu berkeupayaan. 

“Jika seseorang itu pemimpin yang hebat, beliau perlu meninggalkan pelan (untuk mencari) pengganti,” katanya pada ucapan penutup Sesi Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti Madani: Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Azalina berkata, isu sebenar bukan mengenai mengehadkan kekuatan seseorang pemimpin, sebaliknya menghalang tanggapan bahawa seseorang boleh memegang kuasa selama-lamanya.

“Ia bukan soal mengehadkan seseorang. Ia mengenai tidak membenarkan sesiapa menyalahgunakan kuasa. Ia tentang seseorang yang beranggapan dirinya ‘tidak boleh disentuh’ dan boleh terus berkuasa selama-lamanya. Itulah mesejnya,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pemimpin yang sudah berundur daripada jawatan masih boleh menyumbang kepada negara, namun dalam kapasiti yang berbeza.

“Ia bukan kerana individu itu buruk atau jawatan itu tidak baik, tetapi kita mahu mengelakkan keburukan. Kita mahu memastikan orang seterusnya dapat tampil memimpin. Saya harap semua orang faham bahawa ini bukan soal tidak mempercayai sesiapa, tetapi lebih kepada hakikat bahawa jawatan itu sangat berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN