Had bincang jawatan PM dibincang Kabinet esok

Had bincang jawatan PM dibincang Kabinet esok

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dapatan daripada sesi dialog awam hari ini berkenaan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan ke Mesyuarat Kabinet esok untuk mendapatkan persetujuan di peringkat dasar. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan dasar tersebut kemudiannya akan dibentangkan kepada semua ahli Parlimen. 

“Ini ditawarkan oleh kerajaan Perpaduan Madani sebagai salah satu daripada kerangka akauntabiliti Madani yang kita lihat pada tahun 2026. 

“Kita berharap boleh mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen untuk membawa pindaan Perlembagaan pada sesi (Parlimen) ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Sesi Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti Madani: Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Azalina berkata, cadangan tersebut bukan bermaksud negara kekurangan individu berkelayakan untuk menerajui kepimpinan, sebaliknya bertujuan membuka ruang kepada kepimpinan baharu serta mengelakkan daripada sebarang bentuk salah guna kuasa oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, sekiranya dipersetujui Jemaah Menteri, pindaan berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini, sekali gus memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Mengulas maklum balas orang ramai, Azalina berkata, kebanyakan pandangan yang diterima adalah hampir sama, dengan sebahagian pihak memberi tumpuan kepada isu penggal berbanding kiraan tahun, selain persoalan sama ada tempoh tersebut dikira secara menyeluruh atau berasingan.

“Ada yang komen (pengiraan tempoh) sama ada daripada belakang atau apabila ia dikuat kuasa baru kita kira 10 tahun. Dan ada juga yang memberi komen tentang kiraan tu bagaimana potong-potong ke ataupun dia kira menyeluruh,” katanya. 

Pada 5 Januari lalu, media melaporkan kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN