Tiada sebarang mesej makluman atau surat memohon izin, tiba-tiba penyanyi, Yunalis Zarai, dimaklumkan ada seorang deejay telah menggunakan suara dan lagunya untuk tujuan perniagaan. Yuna kemudian menghubungi deejay yang enggan didedahkan namanya itu untuk meminta penjelasan.
Yuna atau Yunalis binti Mat Zara’ai, 39, terkilan dan kecewa kerana deejay berkenaan bukan sahaja enggan mengaku salah malah ‘mengajar’ Yuna bahawa apa yang dilakukannya hanyalah produk daripada kercerdasan buataan janaan (AI).
Walaupun undang-undang Malaysia masih belum menetapkan peraturan jelas khusus berhubung membela penggunaan suara artis melalui AI, Yuna menegaskan bahawa haknya sebagai pencipta dan penyanyi perlu dihormati.
“Memang tak ada lagi (undang-undang) berkaitan perlindungan suara. Dalam kes saya dengan seorang deejay, saya cakap dekat dia yang dia mainkan itu lagu dan suara saya.
“Dia menafikan dan tegaskan itu semua diambil daripada AI yang sudah dilatih untuk hasilkan sesuatu menyerupai suara saya. Saya kata, ‘tak, awak kena bayar saya,” ceritanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi penyanyi Deeper Conversation itu, penting untuk setiap penyanyi dan pemuzik memperjuangkan hak sendiri walaupun laluannya tidak mudah.
“Bagi saya kita memang kena perjuangkan. Sebagai artis, memang mencabar juga nak kena perjuangkan semua ini tapi inilah realiti yang terjadi dalam dunia yang kita duduk sekarang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Yuna menegaskan walau secanggih manapun AI berkembang di dunia, pemenang Anugerah Kembara, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 itu tetap percaya ia tidak akan mampu menyaingi kehalusan hati manusia yang melakukan proses penciptaan dengan jiwa.
“Saya fikir AI ini macam jalan pendek untuk kita buat muzik. Tapi tak ada jiwa.
“Saya memang menentang penggunaan janaan AI sebab macam mana sekalipun kalau muzik untuk kita buat iklan, saya boleh faham kenapa mereka guna AI. Tapi kalau muzik yang patut ada sentuhan manusia, rasa sebuah kemanusiaan, tak boleh bergantung kepada AI,” ceritanya.
Tegas Yuna, satu aspek yang tidak boleh digantikan oleh AI adalah pengalaman manusia yang sebenar contohnya sebagai pemuzik yang bersemuka, dan membuat persembahan secara langsung bersama peminat.
“Satu benda yang AI tak boleh buat ialah untuk kita berada di satu keadaan secara fizikal. Seperti sentuh dan jumpa peminat atau bat persembahan secara langsung.
“Kalau ada sesiapa nak guna AI, okay, tapi jangan pakai suara saya,” tegasnya.
Penting pilih rakan kolaborasi
Dalam pada itu, anak jati Alor Setar, Kedah itu juga menekankan penting baginya untuk memilih rakan kolaborasi khususnya berkaitan isu politik dan sokongan terhadap Palestin.
“Saya masih artis yang sama, cara saya bekerja tetap profesional dengan semua orang. Tapi, saya ada pendirian saya. Contohnya, saya hanya akan bekerja dengan orang yang ‘Pro-Palestin’. Itu perkara yang saya tegaskan.
“Kalau awak bukan ‘Pro-Palestin’, saya tak nak bekerja dengan awak,” katanya.
Beliau mendedahkan pernah menolak tawaran daripada seorang DJ terkenal yang memiliki 38 juta pengikut di media sosial kerana perbezaan pendirian politik.
“Dia nak pakai lagu saya, tapi bila saya tahu dia bukan di pihak yang menyokong Palestin, saya terus cakap pada pengurus saya, ‘oh, saya tak boleh ambil kerja ini’,” katanya.
Yuna menjelaskan bahawa prinsipnya mungkin menimbulkan pertembungan atau konflik dengan pihak tertentu, tetapi setakat ini beliau berasa lega kerana masih dapat bekerjasama dengan produser yang memahami pandangannya, termasuk di Malaysia mahupun luar negara.
“Saya bekerja dengan produser yang mempunyai sentimen yang sama dengan saya.
“Cuma mungkin ada sesetengah rakan artis yang tak vokal di media sosial, kita tak boleh paksa. Asalkan kita faham dan berkongsi sentimen yang sama, saya boleh bekerjasama,” katanya.










