GRU Space, sebuah syarikat pemula yang diasaskan oleh anak muda berusia 21 tahun, Skylar Chan bakal membuka hotel pertama di bulan menjelang 2032.
Walaupun pembinaannya belum dimulakan, syarikat itu kini sudah mula menerima bayaran pendahuluan tempahan antara AS$1 juta (RM4.02 juta) daripada beberapa peminat angkasa lepas.
Harga akhir bilik masih belum diketahui, tetapi Chan menyatakan ia akan melebihi AS$10 juta (RM40.2 juta).
Walaupun GRU Space bukan syarikat pertama yang bercita-cita membina hotel di bulan, apa yang membezakan syarikat ini adalah pendekatannya untuk menjayakan impian tersebut.
Daripada menghantar bahan binaan dan mesin ke bulan, syarikat ini merancang menggunakan sistem robotik untuk menghasilkan blok tahan lama daripada tanah bulan dan menyusunnya menjadi struktur kukuh yang mampu bertahan dalam persekitaran bulan yang keras.
Pasukan GRU Space menegaskan hotel itu bukan sekadar untuk tujuan pelancongan. Ia juga akan berfungsi sebagai tapak ujian bagi pembinaan pangkalan, jalan raya, kawasan simpanan dan pelbagai struktur lain yang diperlukan manusia untuk hidup dan bekerja di angkasa lepas.
Reka bentuk hotel tersebut dijangka menggunakan struktur boleh kembang, seumpama khemah angkasa, yang dipadatkan ke dalam roket semasa pelancaran sebelum dikembangkan sebaik tiba di bulan.

Pendekatan ini membolehkan penjimatan berat dan ruang semasa pelancaran.
Setiap struktur boleh kembang bagi hotel pertama di bulan itu terdiri daripada beberapa lapisan.
Antaranya adalah lapisan pelindung bagi mengelakkan kerosakan pada dinding, diikuti lapisan kedap udara untuk mengekalkan oksigen di dalamnya.
Bahagian luar pula dilindungi lapisan khas bagi menangkis batu angkasa bersaiz kecil, radiasi, haba, suhu sejuk melampau serta cahaya matahari yang kuat.
Pasukan GRU Space yang baru ditubuhkan itu berkata, versi hotel seterusnya akan turut menggunakan tanah bulan atau regolit bagi membina dinding luar yang kukuh.
Hotel berkenaan direka untuk menempatkan sehingga empat tetamu, lengkap dengan sistem sokongan kehidupan termasuk bekalan oksigen, kitar semula air, kawalan suhu dan sistem keselamatan kecemasan.
Struktur hotel itu dijangka bertahan sekurang-kurangnya 10 tahun, dengan peluasan dilakukan pada misi keempat.
Fasa tersebut merangkumi penggunaan bahan binaan yang dihasilkan di bulan serta pembinaan dinding luar yang kukuh oleh robot di sekeliling ruang kediaman boleh kembang.
Setakat ini, pasukan GRU Space sedang membuat persiapan untuk melaksanakan fasa pertama misi yang dijadualkan pada 2029.
Menurut pasukan itu, mesin khas akan mencampurkan debu bulan dengan cecair pengikat yang dibawa dari bumi bagi menghasilkan bahan binaan menyerupai batu.
Matlamat utama projek ini adalah untuk mewujudkan ekonomi angkasa yang mampu berdikari, dengan hotel di bulan hanyalah langkah permulaan.
Dalam jangka panjang, pasukan tersebut berhasrat menggunakan sumber di angkasa lepas sepenuhnya, tanpa perlu bergantung kepada penghantaran bahan dari bumi, sekali gus membuka jalan kepada penempatan manusia berskala besar di seluruh sistem suria.
Pembinaan hotel bulan pertama di dunia dijangka bermula pada 2029, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
“Kita hidup pada titik perubahan di mana kita benar-benar boleh menjadi makhluk antara planet sebelum kita meninggal dunia.
“Jika berjaya, berbilion-bilion manusia akan dilahirkan di bulan dan Marikh serta berpeluang mengalami keindahan kehidupan di kedua-dua dunia itu” kata Chan.
Pengasas muda syarikat permulaan itu yakin dengan usaha tersebut kerana meminati ekspedisi ruang angkasa sejak kecil dan mendedikasikan hidupnya untuk minat itu.
Menjelang usia remajanya, beliau sudah menjalani latihan sebagai juruterbang Tentera Udara, membantu membangunkan eksperimen cetakan 3D yang disokong Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).
Beliau juga dihantar ke angkasa lepas sebelum menamatkan pengajiannya di Berkeley, dan diterima masuk ke program bantuan syarikat pemula berprestij di Silicon Valley, Y Combinator tahun lalu sebagai pengasas solo termuda dalam bidang angkasa.-UTUSAN










