KUALA LUMPUR: Isteri bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddiean Jantan, Salwani Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000.
Salwani, 27, yang hadir berkerusi roda mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Pengawal Syarikat Wany Venture didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM50,000 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikatnya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan tu di CIMB cawangan Damansara Heights, Wisma UOA II, di sini, antara 24 November dan 28 November 2024.
Bagi pertuduhan kedua, di lokasi sama, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM7,000 pada 4 Disember 2024.
Bagi pertuduhan ketiga, pada 25 Januari 2025, di lokasi sama, Salwani didakwa menerima wang berjumlah RM10,000.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menerima wang bernilai RM10,000 di lokasi sama, pada 25 November 2025.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)(Akta 613) dan dibaca bersama dengan Subseksyen 87(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta ringgit, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-UTUSAN









