KUALA LUMPUR: Pelakon, Mia Nasir mengakui tidak pernah bosan apabila sering ditawarkan untuk membawakan watak antagonis.
Malah pemilik nama sebenar Nur Farah Md. Nasir itu, memaklumkan dia sentiasa teruja dan seronok melakonkan watak jahat yang dianggap lebih mencabar berbanding watak protagonis atau karakter baik.
“Saya pernah melakonkan watak protagonis. Tapi kalau diberi pilihan, saya lebih cenderung kepada watak antagonis.
“Watak jahat ini ada pelbagai warna. Contoh, seorang perempuan yang pada luaran kelihatan baik namun dalamannya penuh kejahatan.
“Banyak sifat yang boleh kita gabungkan dalam watak jahat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Disoal mengenai reaksi penonton, Mia memaklumkan dia menerima baik sekiranya dirinya dikecam gara-gara watak jahat yang dilakonkannya.
“Saya gembira kalau ada yang benci disebabkan watak kerana itu menandakan lakonan saya menjadi.
“Tapi apa pun niat saya hanyalah mahu memberikan kesedaran disebalik watak jahat tersebut,” kongsinya.










