KUALA LUMPUR: Pencarian Penyampai Emas Sinar menemui titik penghujungnya dengan penyampai radio berpengalaman, Suraya Borhan dinobatkan sebagai juara.
Aksi cemerlang bekas penyampai Suria FM itu menerusi dua cabaran pada pentas akhir yang berlangsung semalam meletakkan Suraya di tempat pertama, sekaligus mengenepikan lima pencabar lain.
Selain RM5000, ibu dua cahaya mata itu membawa pulang trofi kemenangan. Suraya juga bakal bergandingan bersama Putra Anuar menerusi segmen Rehat dan Relax Sinar yang berkeudara bermula pukul 8 hingga pukul 12 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
Suraya yang pada awalnya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang, meluahkan rasa gembira apabila diumumkan juara sulung pertandingan berkenaan.

“Setiap peserta memiliki kelebihan masing-masing. Saya sudah tetapkan yang saya hanya mahu berseronok dan melakukan yang terbaik.
“Saya bersyukur selepas dua minggu berhempas pulas, dengan kehidupan yang huru hara dua minggu sebelum pentas akhir, akhirnya saya diangkat juara.
“Kemenangan ini berbaloi dengan segala cabaran dan kesukaran yang saya hadapi menjelang pentas akhir ini,” katanya.
Pengacara dan pereka fesyen terkenal, Karl Shafek diangkat sebagai pemenang tempat kedua dengan memenangi RM3000 serta trofi.
Kemenangan itu melayakkan Karl menjadi penyampai radio Sinar sepenuh masa dan bakal berkeudara dalam salah satu segmen bersama penyampai, Sarah Kamilla.

“Perasaan bercampur baur, gembira dan sebak kerana penyiaran radio ini merupakan salah satu bidang yang amat saya minati. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana akhirnya saya sampai ke tahap ini,” kongsi Karl.
Pentas Akhir Penyampai Emas Sinar turut menyaksikan peserta Ady Kamal meraih tempat ketiga, diikuti Fakhiz (keempat), Raihan Rahim (kelima) dan Bobo (keenam). – UTUSAN










