Gaza uji sistem antarabangsa dalam tegakkan keadilan

Gaza uji sistem antarabangsa dalam tegakkan keadilan

Aktres Amerika Syarikat, Angelina Jolie bercakap dengan wakil Kerajaan Mesir di sempadan Rafah dalam lawatannya bagi memeriksa bantuan kemanusiaan yang dibawa masuk ke semenanjung Gaza, baru-baru ini. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Krisis di Gaza dilihat sebagai ujian terhadap kredibiliti dan keupayaaan sistem antarabangsa dalam me­negakkan keadilan.

Situasi semasa dunia yang dilihat dimonopoli krisis politik global mengalihkan panda­ngan masyarakat dunia daripada keadaan semasa di Gaza.

Kedutaan Besar Palestin di Malaysia dalam kenyataan berkata, komuniti antarabangsa perlu kembali memberi perhatian kepada tanggungjawab undang-undang, moral dan politik terhadap rakyat Palestin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, apa yang sedang ber­laku bukan sahaja me­ngorban­kan ribuan nyawa orang awam, sebaliknya ujian besar terhadap kredibiliti dan keupayaan sistem antarabangsa dalam me­negakkan keadilan serta undang-undang antarabangsa.

“Bantuan kecemasan sema­ta-mata tidak mencukupi. Komuniti antarabangsa mesti memikul tanggungjawab politik dengan mengambil langkah kon­krit untuk menegakkan un­dang-undang antarabangsa, menamatkan impuniti, menolak pemindahan paksa serta hukuman kolektif.

“Kami menyeru perhatian antarabangsa diperbaharui bagi melindungi orang awam, menghentikan keganasan serta tindakan bersifat genosid secara segera dan berterusan, di samping penglibatan tulen dalam menangani punca utama konflik.

“Antara punca utama tersebut ialah pendudukan berpanjangan, penafian hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin serta ketiadaan akauntabiliti yang berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, perlin­dungan antarabangsa yang berkesan perlu diberi kepada orang awam khususnya kanak-kanak, wanita, wartawan dan petugas kemanusiaan yang berdepan risiko tinggi di kawasan konflik.

Menurut kenyataan itu, isu Palestin tidak wajar dianggap sebagai kebimbangan kemanusiaan sementara atau perlu diketepikan akibat perubahan dinamik politik global sebaliknya perlu ditangani sebagai antara krisis kemanusiaan dan politik paling serius zaman ini.

Kedutaan itu menegaskan keperluan mendesak bagi memastikan akses kemanusiaan yang segera, tanpa halangan dan berterusan ke Semenanjung Gaza bagi membolehkan penghantaran makanan, bekalan perubatan, tempat perlindungan, air, elektrik dan bahan api.

“Kami turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan Malaysia yang dianggap bersifat berprinsip, konsisten dan berpanjangan selain menzahirkan harapan agar Malaysia terus memainkan peranan ke­pimpinan dalam mengge­rakkan tindakan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×