KUALA TERENGGANU: Felda perlu membayar premium dan cukai tanah untuk keluasan 18,000 hektar kepada Kerajaan Negeri Terengganu, iaitu tambahan sebanyak 3,000 hektar berbanding dimaklumkan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, jumlah itu berdasarkan ukuran terkini keluasan tanah negeri yang dibangunkan FGV Holdings Bhd (FGV) sebagai ladang komersial.
Kata beliau, sebaik sahaja perjanjian ditandatangani antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Felda yang dijangka pada Mac ini, ia disusuli permohonan tanah milik kerajaan oleh lembaga iu dengan mengisi Jadual 1 Kanun Tanah Negara.
“Jadual 1 perlu diisi oleh mana-mana pemohon yang berhajat memohon tanah milik kerajaan. Peraturan Jadual 1 adalah sama sahaja sama ada untuk rakyat atau syarikat.
“Ia bermakna, Felda perlu membayar premium tanah dan cukai tanah bagi keluasan 18,000 hektar. Rezeki tambahan untuk negeri dan rakyat Terengganu,” katanya hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata, rundingan membabitkan isu pengurusan tanah ladang komersial antara lembaga itu dan Kerajaan Negeri Terengganu menunjukkan perkembangan positif apabila beberapa persetujuan penting berjaya dicapai.
Beliau berkata, walaupun rundingan itu mencatat kemajuan memberangsangkan, perinciannya belum boleh didedahkan kerana masih tertakluk kepada proses serta persetujuan bersama.
Katanya, keputusan muktamad berhubung perkara itu masih perlu melalui beberapa peringkat kelulusan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Negeri Terengganu kehilangan hasil kira-kira RM600 juta termasuk cukai dan premium berikutan tindakan Felda tidak menjelaskan bayaran perkongsian keuntungan membabitkan penerokaan tanah negeri sejak 40 tahun lalu dengan keluasan dianggarkan lebih 15,000 hektar.
Menurut Azman, permohonan Jadual 1 mengesahkan bahawa ladang FGV itu masih berstatus tanah kerajaan negeri dan premiumnya belum dijelaskan.
Katanya, fakta ini juga menafikan kenyataan dari beberapa pihak sebelum ini bahawa Felda telah melunaskan semua bayaran kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
“Ia juga selari dengan kenyataan Pengerusi Felda bahawa proses penyelesaian ini melibatkan implikasi kewangan di pihak Felda. Kalau semuanya sudah dilunaskan maka tentu sekali tidak timbul lagi apa-apa implikasi kewangan,” katanya. – UTUSAN











