EPIC Berhad terus sokong skuad TSG

EPIC Berhad terus sokong skuad TSG

MUHTAR Suhaili (tengah) menyerahkan replika sebagai simbolik tajaan skuad gergasi basikal tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) kepada Hishamuddin Abdul Karim semasa Majlis Memperkenalkan Pasukan Terengganu Cycling Team 2026 di Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) meneruskan komitmennya dalam menyokong pembangunan industri sukan tempatan apabila sekali lagi tampil sebagai penaja utama skuad gergasi basikal tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) bagi menghadapi persaingan musim baharu. 

Tajaan bagi musim 2026 mencerminkan keyakinan syarikat berkenaan terhadap keupayaan pasukan TSG dalam mengekalkan momentum prestasi cemerlang mereka di samping terus mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di pentas antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata,  peningkatan nilai tajaan selari dengan prestasi konsisten dan cemerlang yang ditampilkan TSG, khususnya dalam mengekalkan momentum kejayaan di pentas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Tajaan EPIC Berhad bagi musim ini mencerminkan keyakinan terhadap pencapaian dan kebolehan pasukan TSG dalam mengekalkan momentum kecemerlangan serta keupayaan mereka untuk terus mendominasi perlumbaan dalam siri UCI. 

“Pada masa sama, ia adalah komitmen syarikat dalam menyokong persiapan dan pembangunan skuad gergasi perlumbaan basikal tempatan dalam menempuhi persaingan di peringkat benua dan global,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan tajaan tersebut sempena Majlis Memperkenalkan Pasukan Terengganu Cycling Team 2026 di sebuah hotel di Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

Sementara itu, Epic Berhad dalam kenyataannya memaklumkan, sejak penubuhannya pada 2011, TSG meraih pelbagai kejayaan termasuk muncul Juara Dunia Pasukan Benua (UCI Continental Team – World Ranking) sebanyak empat kali dan Juara Asia (UCI Asia Tour Ranking) enam kali selain meraih kedudukan Naib Juara Asia serta tempat ketiga Asia sebanyak dua kali.

Katanya, bagi musim 2025, TSG mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam siri kedudukan UCI apabila menghuni tangga ketiga  daripada 51 pasukan dalam UCI Asia Tour Ranking, kedudukan kelima daripada 171 pasukan dalam UCI Continental Team Ranking dan  ke-37 daripada 206 pasukan dalamUCI World Ranking. 

“Sepanjang musim tersebut, TSG mengumpul 1,326.67 mata UCI sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pasukan berbasikal terbaik di rantau ini. Pencapaian cemerlang ini membuktikan keupayaan TSG untuk bersaing secara konsisten dan mendominasi perlumbaan di peringkat benua dan antarabangsa.

“EPIC Berhad yakin tajaan ini bukan sahaja dapat menyokong kesinambungan prestasi cemerlang TSG, malah menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan berprestasi tinggi, selaras dengan nilai kecemerlangan, disiplin dan daya saing yang menjadi teras kepada budaya korporat syarikat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN